Kementerian Pendidikan dapat peruntukan paling tinggi RM55.2 bilion - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan dapat peruntukan paling tinggi RM55.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan komited ingin menjaga pendidikan negara apabila memberi RM55.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan iaitu peruntukan tertinggi.

Ia lebih tinggi diperoleh kementerian tersebut berbanding tahun lalu iaitu pada 52.6 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM2.3 bilion disediakan untuk memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah buat setiap golongan pelajar.

“Ini meliputi peruntukan RM920 juta untuk naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

“Selain itu, peruntukan 900 juta ringgit untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan cina dan tamil bagi kerja seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama dan kelas yang telah uzur,” katanya.

Tambahnya, setiap sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas juga akan dilengkapkan dengan kemudahan yang mesra orang kurang upaya (OKU) dan kerajaan turut akan membina dewan terbuka demi keselesaan untuk berhimpun.

“Sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak RM560 juta termasuk Sekolah Kebangsaan Paya Dusun, Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam, Selangor, SMK Nabalu, Sabah dan SMK Dudong, Sarawak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN