Kongsi kepakaran, kewangan cepatkan pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN

Kongsi kepakaran, kewangan cepatkan pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa semua rakan Komuniti Asia Sifar Pelepasan (AZEC) memberikan kepakaran teknikal sepenuhnya serta komitmen kewangan bagi mempercepatkan pelaksanaan Grid Kuasa ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan progresif Grid Kuasa ASEAN memainkan peranan penting dalam mencapai keselamatan tenaga jangka panjang serta matlamat iklim serantau.

Katanya, usaha tersebut melengkapi keutamaan di bawah Pengerusian Malaysia yang menekankan prinsip keterangkuman dan kelestarian.

“Kita optimis AZEC akan terus menjadi platform penting bagi kerjasama yang saling menguntungkan dalam peralihan tenaga.

“Dari perspektif Malaysia, prinsip AZEC iaitu “satu matlamat, pelbagai pendekatan” seiring dengan pendekatan nasional kita terhadap peralihan tenaga,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) ke-3 di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Anwar berkata, Malaysia mengambil langkah tegas memperkukuh tadbir urus iklim dan mempercepatkan peralihan tenaga.

Katanya, ini termasuk penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon 2025 (CCUS) yang menjadi asas perundangan bagi pengurusan karbon berskala besar dan pembangunan ekonomi rendah karbon.

“Menyusul selepas itu ialah Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Kebangsaan serta pelaksanaan cukai karbon yang dirancang untuk diperkenalkan pada tahun 2026.

“Inisiatif-inisiatif ini menandakan peralihan jelas daripada sekadar aspirasi kepada pelaksanaan sebenar,” katanya.

Anwar turut mengalu-alukan sokongan pembiayaan berterusan untuk pelaburan dalam teknologi rendah karbon seperti hidrogen, CCUS, penyimpanan bateri dan biofuel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN