PETALING JAYA: Sistem perbankan Islam perlu kembali kepada tujuan asal kewujudannya sejak ia diperkenal di negara ini 40 tahun dahulu.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, sistem perbankan Islam dalam negara boleh menjadi lebih baik daripada sepatutnya.
Menurut beliau, perbankan Islam perlu berasaskan syariah dan menerapkan ‘jiwa Islam’ dalam keseluruhan sistem tersebut supaya ia tidak dilihat oleh masyarakat sama seperti perbankan konvensional.
“Kita dapati ada kepincangan yang berlaku dan ini harus diperbetulkan. Jika tidak, memang tiada beza antara perbankan Islam dan konvensional.
“Perbankan Islam seharusnya terikat dengan kegiatan ekonomi ‘sebenar’. Selain daripada itu, sepatutnya perbankan konvensional sahaja terlibat. Kita tidak mahu kewangan dan perbankan Islam terikut-ikut rentak konvensional.
“Rujuk kembali Deklarasi Kuala Lumpur 2012 yang secara terang-terangan menyatakan kewangan Islam harus berasaskan perkongsian risiko. Ia diterima oleh kebanyakan pengamal tetapi apa yang berlaku sekarang adalah banyak produk perbankan Islam berasaskan pemindahan risiko. Ia sudah lari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, produk sistem kewangan Islam di negara ini didakwa tidak langsung melambangkan Islam kerana tiada aspek ‘kemanusiaan’ seperti dituntut agama apabila terus menindas peminjam dengan pelbagai cara.
Ini susulan daripada pendedahan akhbar mengenai kaedah pembiayaan kewangan Islam di negara ini yang dikatakan tidak terdedah risiko kenaikan kadar hutang didakwa belum mematuhi konsep maqasid syariah sepenuhnya.
Sebabnya, ia masih tertakluk kepada peraturan tertentu berpaksikan faedah dan riba seperti mana perbankan konvensional.
Mengulas lanjut, Baharom berkata, perbankan Islam sepatutnya berasaskan konsep inklusif di mana ia menawarkan perkhidmatan kepada semua kumpulan masyarakat tanpa mengira sama ada B40, asnaf dan sebagainya.
“Tetapi perbankan Islam sudah jadi konvensional kerana hanya memberi pinjaman dan pembiayaan kepada individu yang mempunyai dokumen serta menepati syarat-syarat tertentu.
“Malah, sepatutnya apabila peminjam berdepan dengan kesusahan. Perbankan Islam perlu ke depan dalam membantu tetapi itu juga tidak berlaku sekarang. Jadi di manakah nilai-nilai murni sistem tersebut?
“Lima tahun lepas kita ada keluarkan satu piagam iaitu Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) khas untuk perbankan Islam yang mana bank-bank Islam mengatakan mereka akan memberikan perkhidmatan melebihi nilai dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata, namun perkara ini sudah menjadi retorik kerana mereka sendiri tidak ikut,” katanya.
Walau bagaimanapun, Baharom berkata, untuk mengatakan perbankan Islam sudah 100 peratus menyimpang daripada tujuan asal adalah sesuatu yang keterlaluan, namun ia semakin hari semakin jauh.
Katanya, sudah sampai masanya majlis penasihat syariah bank-bank Islam diletakkan di luar kerangka perbankan supaya tiada kemungkinan wujudnya konflik kepentingan yang mendorong mereka membuat keputusan komersial sehingga lebih membantu bank berbanding orang ramai.
“Ia juga harus dianggotai oleh pakar-pakar lain bukan sekadar pakar syariah. Sepatutnya turut dianggotai oleh ahli ekonomi dan sebagainya kerana mereka boleh beri pandangan dan nasihat teknikal bagaimana orang terjejas boleh dibantu.
Baharom berkata, masih tidak terlambat untuk memastikan perbankan Islam kembali kepada berasaskan konsep Islam seperti mana matlamat penubuhannya dahulu.
“Perbankan Islam perlu kembali kepada sistem yang berasaskan syariah bukan sekadar patuh syariah. Sekiranya berasaskan syariah, semua produk atau perkhidmatan akan dirangka berasaskan syariah.
“Jika sekadar patuh, ia akan ambil perbankan konvensional dan jadikannya sekadar patuh syariah, sekadar tick the box,” ujarnya. – UTUSAN










