ISKANDAR PUTERI: Langkah melonggarkan pengambilan pekerja asing dijangka mampu memecah monopoli ejen serta sindiket pengambilan pekerja di negara sumber yang meraih keuntungan melampau.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha@Mohd. Yunus Sakmud berkata, kelonggaran yang membolehkan mendapat kelulusan dalam tempoh tiga hari dijangka akan mengurangkan birokrasi pengambilan pekerja.
“Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang diumumkan pada Januari lalu itu dijangka mengurangkan monopoli ejen serta sindiket di negara sumber yang mengenakan bayaran sangat tinggi bagi mendapatkan pekerja asing.
“Antara syarat pengambilan pekerja asing yang dilonggarkan itu termasuk penangguhan penyediaan penginapan hingga tempoh tertentu, namun Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan membuat pemantauan selepas enam bulan bagi memastikan majikan mematuhi syarat ditetapkan termasuk menyediakan penginapan pekerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Ciba Vision Johor Sdn. Bhd. (Alcon) di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Shakib Ahmad Shakir dan Pengurus Besar Alcon Johor, Dr. James Jayadeva Govindasamy.
Bulan lalu, kerajaan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing untuk membenarkan majikan menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kemampuan dan keperluan sebenar tanpa perlu melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.
Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar mengingatkan majikan supaya memastikan keselamatan, kebajikan dan penginapan pekerja terbela.
Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, kebanyakan kes berlaku membabitkan pekerja warga asing ialah majikan tidak menyediakan tempat penginapan seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat supaya lebih berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara dengan gaji lumayan kerana dikhuatiri mereka akan menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Menurutnya, isu sindiket penipuan pekerjaan di luar negara semakin menjadi-jadi dan ramai yang telah menjadi mangsa, khususnya golongan muda dengan menawarkan gaji lumayan.
“Kerajaan menerusi sumber yang ada telah menyelamatkan beberapa mangsa terkandas di luar negara. Justeru, kita nasihatkan mereka untuk hubungi pihak Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk sahkan ejen mencari pekerjaan itu,” katanya.
Pada Disember lalu, Kementerian Luar Negeri (KLN) menerima 488 laporan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
Daripada jumlah itu, seramai 359 orang berjaya diselamatkan dengan 331 dibawa pulang ke Malaysia dan 28 lagi masih berada di depoh tahanan bagi membantu proses siasatan serta urusan dokumentasi di negara berkenaan sebelum dibenarkan pulang, manakala 129 lagi mangsa masih belum dapat dikesan. – UTUSAN