Kekurangan feri boleh jejas pameran LIMA ‘23

Kekurangan feri boleh jejas pameran LIMA ‘23

NOORAZLY Rosly (tengah) ketika sidang akhbar di Persiaran Dayang, Kuah di Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Isu perjalanan feri ke Pulau Langkawi yang dilaporkan hanya akan selesai kira-kira seminggu sebelum pelaksanaan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei ini dikhuatiri akan menjejaskan program dwitahunan tersebut.

Jurucakap Pemain Industri 13 (PI13), Datuk Noorazly Rosly berkata, perjalanan feri yang tidak mencukupi bukan sahaja menyebabkan pelancong tidak memilih untuk ke Langkawi, tetapi dibimbangi akan menyebabkan pempamer tidak berminat untuk menyertai pameran tersebut.

“Jika perkhidmatan feri untuk penumpang pun ada masalah, begitu juga yang akan berlaku terhadap perkhidmatan feri pembawa kenderaan (Roro) yang akan diguna pakai untuk membawa masuk barang-barang untuk pameran LIMA.

“Jika barang-barang gagal dibawa masuk oleh pempamer dan peserta, saya rasa kemungkinan besar penyertaan LIMA ‘23 akan berkurang. Ianya bukan disebabkan kegagalan kerajaan buat promosi, tetapi disebabkan kegagalan pihak-pihak yang turut serta untuk memenuhi keperluan logistik mereka,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Menurut Noorazly, jadual perjalanan feri penumpang juga hanya dikeluarkan sehingga hujung bulan ini dan tiada tambahan perjalanan setakat ini walaupun cuti hujung penggal persekolahan bermula kira-kira dua minggu lagi sehingga pertengahan Mac depan.

Jelasnya, keadaan tersebut menyebabkan pelancong termasuk bakal pempamer tidak dapat merancang perjalanan mereka untuk ke Langkawi sekali gus bakal menjejaskan jumlah kemasukan pengunjung sepanjang pameran itu.

Beliau berkata, kali terakhir LIMA diadakan iaitu Mac 2019, pameran tersebut mencatatkan rekod apabila berjaya menarik kehadiran 240,000 pengunjung pada dua hari terakhir yang dibuka kepada orang awam.

Selain itu, kata beliau, antara faktor kekurangan pelancong ke Langkawi ketika ini adalah disebabkan pulau peranginan itu telah dikeluarkan daripada kempen peta pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Kita adalah juara kepada gelembung pelancongan, tetapi tiada sambungan untuk promosi Langkawi sehingga Langkawi kini tidak berada di senarai 10 teratas destinasi pelancongan di Malaysia,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya