Kakitangan hospital letih, pesakit terdedah cuaca sejuk melampau - Utusan Malaysia

Kakitangan hospital letih, pesakit terdedah cuaca sejuk melampau

KEADAAN rumah keluarga Dr. Rabeah Aldouh di Antakya, Turkiye yang terjejas teruk akibat gempa bumi baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keadaan di Unit Kecemasan Hospital Goksun, Turkiye amat menyedih­kan apabila ramai kakitangan perubatan hospital sudah letih dan tidak dapat merawat jumlah pesakit yang semakin bertambah terutama kanak-kanak.

Kakitangan hospital juga ada yang tidak tidur untuk beberapa malam demi merawat pesakit walaupun hanya menggunakan kit pertolongan cemas.

Ia berikutan kejadian gempa bumi baru-baru ini sehingga menyebabkan struktur hospital di kawasan itu mengalami ba­nyak kerosakan sehingga bilik operasi merawat pesakit tidak dapat digunakan.

Berkongsi keadaan terkini kepada Utusan Malaysia, sukarelawan Rose2Rose, Dr. Rabeah Aldouh berkata, pasukan perubatan dari seluruh Turkiye datang secara bergilir-gilir ke kawasan gempa bumi kerana pasukan sedia ada terlalu letih dan tidak dapat meneruskan rawatan sepenuhnya.

“Di hospital kami, pesakit kanak-kanak lebih memerlukan bantuan sokongan. Jumaat lalu, saya ternampak seorang budak lelaki di bawah runtuhan, dan sekarang dia telah dirawat di jabatan kanak-kanak. Kakinya patah dan buah pinggangnya terjejas.

“Saya bercakap dengan kakitangan perubatan yang lain, mereka juga berdepan situa­si sekarang, saya menangis ba­nyak kali kerana hospital sudah tidak mempunyai bilik operasi untuk rawatan.

“Orang ramai sekarang juga memerlukan lebih banyak tempat tinggal kerana keadaan sekarang di Goksun sangat sejuk sehingga suhunya mencecah -25 darjah Celsius,” katanya yang kini bertugas di jabatan pakar kanak-kanak di Kayseri.

Dr. Rabeah yang berasal dari Aleppo, Syria kini sedang me­lanjutkan pengajian perubatan untuk menjadi doktor pakar di Erciyes University, Kayseri.

Gempa bumi itu merupakan ujian berganda buatnya sekeluarga selepas melarikan diri daripada konflik di Syria yang kini sudah berlanjutan lebih 10 tahun.

Beliau banyak melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelaan bersama Rose2Rose bagi membantu nasib pelarian Syria yang mendapat perlindungan di Gaziantep, Turkiye.

Mengulas lanjut kata beliau, keluarganya yang berada di Antakya turut terkesan susulan gempa, namun kesemuanya terselamat daripada tragedi berkenaan.

“Keluarga saya baik-baik sahaja, alhamdulillah kami semua tinggal dalam satu rumah. Tetapi, keadaan sangat sukar untuk semua orang kerana ada yang terpaksa duduk dan bermalam di luar, dan terdedah dengan cuaca sejuk melampau.

“Saya rasa, sepatutnya ada tindakan bersepadu kakitangan perubatan di kawasan-kawasan gempa. Terdapat banyak runtuhan dan pasukan penyelamat masih berusaha mengeluarkan orang ramai daripada runtuhan, tetapi tidak mempunyai jumlah yang cukup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.