GUA MUSANG: Jemaah Surau An Nur di Desa Seri Mutiara, Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru di sini diselubungi kebimbangan setiap kali melakukan solat berjemaah apabila lantai surau semakin reput dimakan anai-anai.
Pengerusinya, Noor Fazley Hussein, 32, berkata, kerosakan itu mula dikesan berlaku sejak tiga bulan lalu apabila struktur lantai dilihat mulai berlubang dan reput.
Menurutnya, sebelum ini masalah itu telah diadukan kepada pihak berwajib, namun tiada usaha baik pulih dilakukan.
“Sebenarnya surau ini telah mendapat bantuan membaik pulih oleh pihak Kesedar dan siap sepenuhnya pada bulan Ogos tahun lalu.
“Namun, selepas kira-kira tiga bulan, kami mendapati lantai kayu berkenaan reput dan berlubang dimakan anai-anai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Noor Fazley memberitahu, para jemaah telah mengambil inisiatif sendiri dengan bergotong-royong membaiki sebahagian lantai yang rosak tiga minggu lalu.
Sementara itu, imam surau Ahmad Shafii, 72, berharap lantai simen yang lebih kukuh dan selamat dapat dibina selepas ini.
Katanya, surau yang dibina lebih 20 tahun itu boleh memuatkan 50 jemaah dalam satu masa.
“Surau berkenaan menjadi pilihan penduduk setempat untuk menunaikan solat secara fardu berjemaah dan pernah mendapat Anugerah Surau Tercantik di kawasan RKT Kesedar Renok Baru.
“Kebanyakan penduduk juga menggunakan surau ini untuk bertarawih sepanjang bulan Ramadan kerana kedudukannya berdekatan dengan rumah,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Mohd. Noor Fazley di talian 019-9749609. – UTUSAN










