Jelajah Toyota suntikan motivasi pemain golf profesional Malaysia

Jelajah Toyota suntikan motivasi pemain golf profesional Malaysia

HAMAD Kama Piah Che Othman (depan, tengah) bersama wakil Toyota dan wakil kelab-kelab golf yang menjadi lokasi kejohanan Jelajah Toyota tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain golf profesional negara ini mendapat suntikan motivasi dalam meningkatkan prestasi dan membuktikan kemampuan mereka apabila Jelajah Toyota bakal dianjurkan buat pertama kalinya bermula Mac ini.

Jelajah Toyota dianjurkan hasil daripada perbincangan antara tiga pihak iaitu Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), UMW Toyota Motor dan MST Golf. 

Sebelum ini ia dikenali sebagai PGM Tour yang diperkenalkan pada 2010 oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji dan sejak itu ia menjadi kejohanan penting dalam perkembangan sukan golf di negara ini.

Saingan Jelajah Toyota akan membabitkan sembilan pertandingan termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kejuaraan Trofi Tun Ahmad Sarji PGM akan membuka tirai di Saujana Golf & Country Club pada 8 hingga 11 Mac ini.

Toyota Tour akan menutup tirai saingan dengan Kejuaraan Toyota di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) pada 14 hingga 17 November ini yang mana ia turut mendapat perakuan daripada Asian Development Tour (ADT).

Trofi Tun Ahmad Sarji PGM menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM230,000 merangkumi RM200,000 untuk kategori lelaki dan RM30,000 bagi kategori wanita.

Sementara itu, lapan pertandingan dalam Jelajah Toyota yang membabitkan pelbagai lokasi lain akan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM210,000 bagi setiap kejohanan dengan RM180,000 daripadanya untuk kategori lelaki.

Peserta bagi setiap pertandingan tertutup ini akan membabitkan pemain profesional Malaysia yang memiliki kad PGM Tour selain pemain terbaik amatur dan jemputan penaja. 

Selain Trofi Tun Ahmad Sarji, semua lapan pertandingan akan dikenali dengan nama model kenderaan Toyota.

Sementara itu, Kejuaraan Toyota pula akan menyediakan hadiah RM350,000 dengan penyertaan membabitkan pemain daripada Toyota Tour dan beberapa pemain terbaik ADT dari rantau ini di samping jemputan penaja.

Sebagai tambahan kepada kejohanan ini, penganjur turut mengadakan dua pertandingan kelayakan Jelajah Toyota bagi pemain yang tidak memiliki kad PGM Tour. 

Sesi kelayakan pertama akan diadakan pada 21 hingga 23 Februari ini di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) manakala kedua di Palm Resort Golf & Country Club pada 12 hingga 14 September depan.

Pemangku Pengerusi PGM Tour, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penganjuran Jelajah Toyota akan menjadi medan yang mengujakan bagi sukan golf di Malaysia bagi tahun ini.

“Sudah pasti pemain golf profesional di negara ini akan menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk meningkatkan mutu permainan mereka.

“Kerjasama dengan ADT pada Kejuaraan Toyota tentunya akan menjadi pentas kepada pemain profesional kita untuk terus berjaya di sirkit serantau dan lebih dari itu,” katanya pada pelancaran kalender Jelajah Toyota 2023 di KLGCC semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya