Jangan salahkan pembangkang jika PH runtuh - Hadi Awang 

PARLIMEN: Jangan salahkan pembangkang jika PH runtuh

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menyalahkan pembangkang sekiranya kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini runtuh.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu dinyatakan dengan mengambil kira sejarah Langkah Sheraton yang menyebabkan PH tumbang pada 2019.

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah. Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap, tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti-parti kecil dan segala yang berpenyakit bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana disaksikan rakyat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Langkah Sheraton pada 24 Februari 2020 menyaksikan 11 ahli Parlimen diketuai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keluar parti.

Tindakan itu menyusul apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengumumkan keluar daripada PH pada hari sama, menyebabkan gabungan yang menjadi kerajaan ketika itu hilang majoriti.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menggesa kerajaan menyegerakan peruntukan kepada pembangkang supaya boleh disalurkan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Tindakan melengahkan peruntukan di kawasan pembangkang dan kerajaan negeri yang dikuasainya adalah tidak tepat dengan prinsip Islam dan demokrasi.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri, tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan.” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN