MARANG: ‘Perceraian’ antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk jentera kempen yang bergerak berasingan bukan strategi politik untuk memperkukuh Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri dan umum.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sudah membatalkan kerjasama politik dengan Bersatu dan jentera parti masing-masing bergerak berasingan kerana Bersatu mendesak mahu menggunakan logo PN.
Pada masa sama, kata beliau, PN belum memecat Bersatu sebagai ahli gabungan berkenaan.
“Kita tetap dengan simbol, yang Bersatu saya tidak tahu strategi atau tidak. Mungkin strategi dia sendiri tetapi insya-Allah orang Pas akan bekerja,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.
Beliau ditanya tanggapan sesetengah pihak bahawa ‘penceraian’ Pas dan Bersatu hanya satu strategi politik yang mana kedua-dua parti berkenaan akan kembali ‘rujuk’ bagi menarik pengundi menyokong PN pada pilihan raya.
Pas dan Bersatu menggunakan logo PN malah menerima watikah pencalonan daripada individu yang serupa namun kedua-dua parti itu berkempen secara berasingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula hari ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, untuk PRN Johor kali ini, Pas tidak akan menggunakan jentera pilihan rayanya untuk membantu kempen calon Bersatu.
Sementara itu, beliau berkata, Pas mahu menjadi pembangkang dan penasihat kepada Kerajaan Negeri Johor apabila memutuskan bertanding 11 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN) kali ini.
Kata beliau, parti itu yakin dapat mencapai sasaran menguasai 11 kerusi yang dipilih oleh kepemimpinan Pas Johor termasuk menampilkan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, Mazlan Bujang sebagai salah seorang calonnya.
“Kita bertanding 11 kerusi DUN, sasaran kita jadi pembangkanglah di Johor. Jadi pembangkang dan penasihat kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditanya sasaran Pas pada PRN Johor.
Abdul Hadi berkata, apa yang penting bagi Pas di PRN ini adalah kerajaan negeri kelak ditadbir oleh orang Melayu dan Islam. – UTUSAN










