PETALING JAYA: Isu dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion dana kerajaan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga membawa kepada pembekuan akaun parti itu dijangka memberi impak besar yang boleh menjejaskan peluangnya menang dalam pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.
Sekiranya akaun Bersatu dibekukan dalam tempoh yang lama sehingga PRN bermula, parti itu terpaksa ‘menumpang’ akaun parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas untuk menjalankan operasi dan kempen pilihan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, dakwaan itu membentuk stigma negatif pengundi meskipun belum dituduh di mahkamah dan disabitkan bersalah.
“Apabila SPRM bekukan akaun parti, stigmanya sudah ada, Bersatu telah terpalit kesan negatif walau apa pun keputusan SPRM dalam siasatan mereka.
“Jika kempen pilihan raya berlangsung dan akaun ini masih dibekukan, ia menyukarkan operasi kempen parti. Bersatu terpaksa mengharapkan sekutunya menjalankan kempen jentera tanpa libatkan wang yang besar,” katanya.
Kata Azmi, ini menunjukkan mustahak untuk kerajaan membentangkan rang undang-undang berkaitan sumbangan dan perbelanjaan politik di Parlimen bagi kawal selia pengurusan sumbangan politik dan pentadbiran, perbelanjaan, pembiayaan aktiviti politik.
“Ini masalahnya tiada akta yang mengikat kerana sekarang parti politik tidak perlu mengisytihar bagaimana dan siapa yang memberi ‘derma’,” katanya.
Akaun Bersatu kelmarin dilaporkan dibekukan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana bernilai RM92.5 bilion. Pembekuan itu dilakukan kira-kira dua minggu lalu selepas parti dipercayai menerima lebih RM300 juta wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi Covid-19.
Terkini, Transparency International (TI) mendedahkan, skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun 2022 merosot kepada 47 mata dalam kalangan 180 negara, menyaksikan kejatuhan enam mata dalam tempoh tiga tahun lalu.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, Pakatan Harapan (PH) boleh mengambil peluang dengan menjadikan isu tersebut sebagai bahan kempen menewaskan PN dalam pilihan raya negeri.
Bagaimanapun, katanya, PH mesti mengimbangi dengan mencari pendekatan supaya gabungan itu tidak terpalit dengan isu sama memandangkan PH kini bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang dibebani dengan golongan kleptokrat di peringkat Persekutuan.
“Tuduhan terhadap Bersatu ini akan menyukarkan mereka sendiri dalam pilihan raya walaupun isu ini masih di peringkat siasatan, belum pun didakwa di mahkamah.
“Yang penting, bagaimana semasa kempen nanti Bersatu merancang untuk menjadi ‘mangsa keadaan’ supaya persepsi buruk terhadap parti dapat ditepis dan meraihkan undi rakyat,” katanya. – UTUSAN










