KUALA LUMPUR: Ketika spekulasi dirinya dikatakan hamil anak kedua hangat dibahaskan di media sosial, usahawan dan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor mengambil pendirian untuk membiarkan persoalan itu kekal menjadi teka-teki.
Neelofa berkata, dia lebih selesa membiarkan perubahan pada fizikalnya sebagai jawapan kepada segala persoalan dibangkitkan.
“Bagi saya, perkara yang belum pasti tidak perlu dihebah-hebahkan seperti hal berkaitan perkahwinan atau kelahiran. Kita layan sahaja komen orang dan saya hargai setiap doa.
“Ketika hamil anak pertama, semua persoalan itu terjawab apabila perut saya semakin besar. Jika nampak perubahan yang sama nanti, maksudnya insya-Allah (hamil). Saya hanya mengikut arus. Itu pendirian saya,” katanya.
Neelofa berkata demikian semasa ditemui pada program umrah bersama Omrah Travel di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Sementara itu, suaminya, PU Haris menyifatkan pendekatan yang diambil mereka itu adalah yang terbaik, selain berharap semua pihak mendoakan kesejahteraan keluarganya.
“Bagi saya, lebih baik doa yang baik-baik. Sesiapa yang pernah dengar jawapan kami sebelum ini, mereka akan faham. Bukan kami mahu menafikan, cuma apa sahajq yang berlaku, kita sentiasa mendoakan perkara yang baik,” katanya.
Spekulasi Neelofa dikhabarkan hamil anak kedua mula diperkatakan selepas video yang menampakkan perubahan pada bahagian perutnya tular di laman sosial, baru-baru ini.
Menerusi video yang dikongsi pengguna TikTok itu, Neelofa dilihat memegang perut yang semakin membesar ketika memberi ucapan sempena ulang tahun kelahiran pertama putera sulungnya, Muhammad Bilal.
Neelofa mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Haris Ismail pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan Bilal pada 29 Januari tahun lalu.