Gubal undang-undang elak pelajar praktikal jadi buruh kasar - Utusan Malaysia

Gubal undang-undang elak pelajar praktikal jadi buruh kasar

HARRIS IDAHAM RASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan digesa menggubal undang-undang khas bagi mewajibkan majikan membayar elaun kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal ketika ini.

Exco Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, untuk tujuan itu, satu libat urus antara pihak kerajaan dan pemegang taruh harus dilaksanakan dengan secepat mungkin agar ‘kata putus’ dapat dicapai.

Kata beliau, Armada Bersatu berpendapat anak muda tidak boleh dijadikan ‘buruh kasar’ di negara sendiri hanya kerana tidak diberikan elaun yang sepatutnya.

Beliau berkata, seperti pekerja lain, pelajar yang menjalani latihan praktikal juga perlu membiayai kos untuk hadir ke pejabat dan sebagainya.

“Dalam hal ini, syarikat swasta sebenarnya mengutip untung hasil daripada tenaga kerja termasuk pelajar ‘internship’ (praktikal).

“Pada masa sama, syarikat juga telah menjimatkan satu amaun yang signifikan dengan mengambil pelajar ‘internship’ ini untuk berkhidmat. Justeru, wajar untuk kerajaan mewajibkan satu elaun minima diberikan (kepada mereka),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) sebelum ini menolak cadangan untuk mewajibkan pemberian elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta.

Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman dilaporkan sebagai berkata, kerajaan sebaliknya perlu memberi pertimbangan untuk memberi lebih banyak insentif kepada majikan bagi mengambil lebih ramai pelatih sebelum mewajibkan semua pelajar menjalani latihan praktikal tersebut.

Dalam pada itu, Harris Idaham memberitahu, industri di Malaysia harus bergerak mengikut peredaran zaman dan
sudah tidak ada ruang untuk syarikat memperolehi perkhidmatan percuma
daripada manusia.

“Selari dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju, isu asas seperti menghormati tenaga keringat anak muda yang sedang menimba pengalaman berkerja harus diselesaikan dengan tuntas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya