PETALING JAYA: Emolumen penjawat awam bakal mencecah RM100 bilion jika gaji dan elaun dinaikkan sekurang-kurangnya 10 peratus tahun ini sekiranya kerajaan memenuhi permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CEUPACS).
Selain itu, kerajaan juga mungkin menanggung defisit fiskal sehingga 6.5 peratus jika kadar gaji penjawat awam dikaji atau ditambah baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan ketika ini terpaksa menanggung hutang RM1.5 trilion malah defisit fiskal negara pula pada kedudukan 5.6 peratus.
Katanya, beliau secara prinsipnya bersetuju jika gaji penjawat awam ditambah baik namun ia tidak sesuai dilakukan ketika ini.
“Jika ia (gaji penjawat awam ditambah baik) dilakukan, maka tiada orang akan datang melabur dalam negara kita dan mereka tidak yakin bahawa kita ada tekad politik untuk menguruskan negara dengan baik.
“Sabarlah sekejap. Daripada hasil yang banyak itu, saya sudah curahkan kepada semua peringkat masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa mengenai Islam dan Islamofobia: Ke Arah Bermakna Penglibatan Melalui Pendekatan Madani di Putrajaya, semalam.
Anggaran perbelanjaan Kementerian Kewangan menunjukkan, sejumlah RM90.7 bilion dibelanjakan untuk emolumen 2023 meliputi aspek gaji, elaun, imbuhan tetap, bayaran lebih masa, faedah-faedah kewangan, bayaran elaun khas, bayaran imbuhan tahunan dan bantuan kewangan.
Ia peningkatan empat peratus daripada emolumen 2022 iaitu RM86.537 bilion berbanding perbelanjaan emolumen RM85.853 bilion (2021) dan RM82.996 bilion (2020).
Kementerian Pendidikan mencatatkan emolumen tertinggi dengan RM41.751 bilion, diikuti Kementerian Kesihatan dengan RM19.7 bilion, Kementerian Dalam Negeri (RM9.8 bilion), Kementerian Pertahanan (RM8 bilion), Kementerian Pendidikan Tinggi (RM1.278 bilion), Jabatan Perdana Menteri (RM1.170 bilion) dan Kementerian Kewangan dengan RM1.131 bilion.
Anwar mengulas kenyataan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat yang kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang tidak menyentuh tentang kenaikan gaji kakitangan awam.
“Tiada sebarang komitmen yang diberikan oleh kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup,” kata Adnan.
Sementara itu, Pengarah Projek Konsortium Kewangan dan Perbankan Islam di Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, jika jumlah emolumen ditingkatkan pada kadar beberapa peratus, ia menambah beban tanggungan kewangan negara.
Katanya, kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan peruntukan untuk setiap kementerian, jabatan dan agensi, malah menanggung bayaran hutang dan faedah pinjaman.
“Permintaan CUEPACS terhadap kenaikan gaji penjawat awam tidak ditingkatkan dalam Belanjawan 2023 kerana kerajaan sudah banyak menanggung beban seperti bayaran pinjaman, hutang dan lain-lain.
“Sudah tentu akan menambah beban, kerajaan pun mempunyai matlamat untuk mengurangkan defisit sehingga tiga peratus. Sebab itu, belanjawan kali ini banyak menumpukan kepada meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan iaitu golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada Utusan Malaysia tika dihubungi.
Barjoyai menambah, antara usaha kerajaan adalah memberi bantuan khusus dan tambahan kepada nelayan, penanam padi, penoreh getah serta kumpulan belia dan wanita yang disasarkan bagi melegakan keperluan mereka.
Bagaimanapun, katanya, apa yang disuarakan oleh CUEPACS dan penjawat awam tidak boleh diabaikan sepenuhnya.
“Mekanisme menaikkan gaji penjawat awam mengambil masa,tetapi jika tidak ada usaha meningkatkan kesejahteraan penjawat awam, tidak ada usaha mengurangkan kesan inflasi atau usaha menaikkan pendapatan, mereka mungkin menjadi semakin susah,” katanya.
Pada 24 Februari lalu, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion, melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Menerusi Belanjawan 2023 itu, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM350 turut disalurkan kepada pesara kerajaan. – UTUSAN










