KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak seorang lelaki dengan mengheretnya menggunakan motosikal serta menyamar sebagai pegawai polis.
Muhammad Zuraidi Abdullah, 28, dan Muhd. Ammar Haziq Zulkifli, 27, membuat pengakuan bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk fakta kes dan menjatuhi hukuman terhadap kedua-duanya.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan melibatkan sebuah telefon bimbit jenama iPhone 6 Plus milik seorang lelaki berusia 25 tahun.
Mereka juga didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mengheretnya menggunakan motosikal.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat.
Pertuduhan kedua, mereka didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis bagi tujuan melakukan rompakan yang didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di Jalan Kuchai Maju di sini, pada pukul 4.30 pagi pada 28 Januari lalu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan memohon tarikh lain untuk fakta dan hukuman.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak dibenarkan diikat jamin. – UTUSAN