Clare gagal batal tuduhan memfitnah Sultanah Nur Zahirah - Utusan Malaysia

Clare gagal batal tuduhan memfitnah Sultanah Nur Zahirah

CLARE REWCASTLE BROWN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown gagal membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu ditentukan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bertarikh 13 Disember 2022 yang dikemukakan kepada agensi tersebut.

Representasi untuk membatalkan pertuduhan itu dikemukakan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2022 yang menolak saman RM300 juta dikemukakan oleh Sultanah Terengganu terhadap Clare.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee ketika itu memutuskan Clare dan dua lagi tidak memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Selain Clare, turut dinamakan sebagai defendan ialah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd.

Ketika pengurusan kes hari ini, peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Clare memberitahu wakil media, pihaknya menerima surat daripada AGC melalui e-mel pada 25 Januari lalu yang memaklumkan bahawa representasi itu ditolak.

“Pihak kami akan mengemukakan representasi baharu kepada AGC dalam tempoh terdekat,” kata Ngek Seong ketika ditemui selepas prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.

Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 10 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya di hadapan hakim baharu K. Muniandy yang menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang baru dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memberitahu, perbicaraan kes memfitnah Sultanah Nur Zahirah sepatutnya didengar di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bulan lalu.

Namun jelas beliau, prosiding tersebut ditangguhkan sementara menunggu permohonan Clare untuk memindahkan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini didengar dan diputuskan.

Pada 23 September 2021, Clare yang berasal dari United Kingdom itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara in-absentia (tanpa kehadiran tertuduh) atas pertuduhan itu.

Clare didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pengarang Sarawak Report itu kemudian memfailkan permohonan untuk memindahkan kesnya daripada Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di sini kerana mendakwa dirinya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.

Ini kerana pengadu dalam kes jenayah terhadap dirinya adalah Sultanah Terengganu sendiri yang memfailkan saman terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 12 Ogos 2022, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Clare untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau membuat keputusan tersebut selepas mendapati, pertuduhan jenayah terhadap Clare ‘masih dalam transit’ dan kes perlu dipindahkan secara rasmi sebelum permohonan itu diputuskan.

“Permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan dibuat mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

“Ini hanya boleh dilakukan selepas kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (daripada Mahkamah Majistret).

“Selepas kes dipindahkan, barulah Hakim Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya sama ada untuk merujuk persoalan ke Mahkamah Persekutuan.

“Adalah janggal untuk Mahkamah Tinggi berbuat demikian sedangkan kes belum berada dalam bidang kuasanya,” kata Hakim Mohamed Zaini.

Hakim Mohamed Zaini ketika itu turut menyatakan, kes jenayah membabitkan Clare masih berada di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan tertuduh masih belum didakwa secara bersemuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya