Buntu pencen ilat ditolak enam kali

Buntu pencen ilat ditolak enam kali

MOHD. Azri Ibrahim (tiga dari kiri) dan Siti Fatin Hasinah Aliudin (kanan) bersama anak-anak mereka di Kampung Seberang Paya, Ulu Gadong, Rembau, Negeri Sembilan. - NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang bekas pekerja kilang buntu memikirkan nasib dirinya bersama isteri dan enam lagi anak selepas permohonannya untuk memperoleh pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ditolak sebanyak enam kali dengan alasan faktor usianya masih muda.

Mohd. Azri Ibrahim, 42, berkata, dia terpaksa membuat keputusan berhenti kerja lebih dua tahun lalu kerana mengalami penyakit kencing manis, cakera teranjak (slipped disc) dan tiroid selain turutmenghidap sakit jantung serta darah tinggi.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkannya kadangkala mengalami tekanan emosi kerana tidak mampu mencari rezeki sedangkan kehidupannya sekeluarga memerlukan perbelanjaan besar.

“Saya bersyukur isteri bersama-sama sabar menanggung ujian. Setakat ini sudah setahun kami mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

“Bagaimanapun saya berharap permohonan pencen ilat Perkeso dapat diluluskan, saya sememangnya memerlukannya lebih-lebih lagi empat dari enam anak saya masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Paya, Ulu Gadong, di sini, semalam.

Mohd. Azri berkata, bagi mengurangkan komitmen bulanan, dia sedang mencari rumah dengan kadar sewa yang lebih rendah berbanding sebanyak RM450 yang dibayarnya untuk rumah yang disewa ketika ini.

Sementara itu, Siti Fatin Hasinah Aliudin, 38, berkata, selepas suaminya sakit, dia bekerja sementara namun tidak tetap kerana perlu sering menjaga keadaan Mohd. Azri.

“Sukar juga saya mahu bekerja kerana bimbang sekiranya suami diserang strok pula kerana terjatuh, selain anak-anak yang masih kecil.

“Mujur ada rakan-rakan, keluarga, guru sekolah anak, tuan rumah dan pemimpin setempat yang banyak membantu walaupun kami jarang menceritakan masalah kami,” katanya.

Mana-mana pihak yang mahu membantu keluarga ini boleh menghulurkannya ke akaun Maybank 156075858326 atas nama Siti Fatin Hasinah Aliudin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya