Buli: Bekas pelajar OKU fail rayuan

Buli: Bekas pelajar OKU fail rayuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelajar sekolah pendidikan khas dan ibu angkatnya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak saman mereka berhubung dakwaan dibuli ketika bersekolah di sekolah terbabit.

Notis rayuan tersebut difailkan melalui firma guaman, Karpal Singh & Co. pada 14 Februari lalu Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili bekas pelajar yang kini berusia 25 tahun dan ibu angkatnya ketika dihubungi media mengesahkan perkara tersebut.

Pada 3 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menolak saman tersebut atas alasan bekas pelajar terbabit gagal membuktikan dakwaannya dibuli berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Hakim itu dalam penghakimannya turut menyatakan pelajar lelaki itu yang kini berusia 25 tahun, gagal menunjukkan bahawa kesemua defendan telah gagal dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan persekitaran yang selamat sehingga menyebabkannya dibuli.

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Nik Hasmat menyatakan pihak plaintif gagal menunjukkan memberikan justifikasi mengenai tugas dan tanggungjawab kesemua defendan.

Berhubung dakwaan bahawa defendan gagal menyediakan persekitaran yang selamat, hakim terbabit menyatakan plaintif juga gagal menunjukkan bahawa kecuaian tersebut telah menyebabkan insiden buli tersebut berlaku.

Tambahnya, sekiranya ibu angkat plaintif pertama tidak berpuas hati dengan sekolah terbabit dan situasi yang berlaku terhadap anaknya, langkah terbaik ialah mengeluarkan anaknya daripada sekolah berkenaan namun wanita itu tidak berbuat demikian.

Selepas menolak saman tersebut, mahkamah turut memerintahkan bekas pelajar terbabit dan ibu angkatnya untuk membayar kos sebanyak RM10,000.

Pada 26 Mei 2017, bekas pelajar terbabit dan ibu angkatnya memfailkan saman dengan menamakan pengetua, sekolah pendidikan khas, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga keempat.

Menurut pernyataan tuntutan mereka, plaintif pertama (bekas pelajar) mendakwa kakinya telah diikat di katil dan ditumbuk rakan sekolah ketika tidur, diludah serta dikasari manakala pakaiannya dicuri.

Plaintif berkata, sekolah itu tidak mempunyai kemudahan dan sistem untuk mengkategorikan setiap pelajar mengikut tahap ketidakupayaan atau masalah pembelajaran.

Menurut saman tersebut, kedua-dua plaintif menuntut antara lain ganti rugi am, teruk dan teladan selain perisytiharan bahawa hak kepada pendidikan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, bermaksud pendidikan berkualiti selaras dengan ketidakupayaan dialami plaintif pertama dan kanak-kanak istimewa lain.

Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaannya berkata, penempatan plaintif pertama di sekolah itu berdasarkan pemilihan oleh kedua-dua plaintif dan mereka bersetuju dengan pemilihan itu selepas melihat kecenderungan plaintif pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN