Buka 60,000 hektar tanah tampung permintaan sayur tempatan

Buka 60,000 hektar tanah tampung permintaan sayur tempatan

Sektor angromakanan penting menjaga kestabilan makanan negara. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 hektar tanah pertanian bagi memastikan krisis agro makanan termasuk kekurangan bekalan sayur-sayuran yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan.

Ketika ini Malaysia mempunyai kira-kira 24,000 hektar tanah pertanian yang diuruskan oleh lebih 6,000 petani dengan hasil tidak sampai satu juta tan metrik setahun, iaitu satu pertiga daripada keperluan bekalan dalam negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, Malaysia memerlukan pertambahan 36,000 hektar tanah pertanian baharu bagi meningkatkan bekalan makanan negara khususnya sayur-sayuran.

“Dengan pertambahan 36,000 hektar tanah pertanian baharu ini, negara dapat me­ngurangkan kebergantungan kepada sayur-sayuran import sebanyak 70 peratus atau dua juta tan metrik setahun sekali gus menjimatkan wang negara.

“Sudah sampai masanya kerajaan memikirkan soal sekuriti agro makanan negara, sampai bila kerajaan hendak bergantung kepada sayur import? Negara sumber pun ada masalah seperti kita ekoran cuaca tidak menentu. Bila hasil kurang harga tentunya mahal.

“Mana-mana sayur-sayuran import yang boleh ditanam di Malaysia sepatutnya kita tanam sendiri. Halia misalnya 80 peratus import, cili 70 peratus, ubi kentang 100 peratus, brokoli dan lobak merah 100 peratus import. Semua ini kita boleh tanam sendiri,” katanya di sini semalam.

Ee Mong berkata, menerusi pertambahan 36,000 hektar tanah pertanian baharu, ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada import malah dapat meningkatkan ha­sil sayur-sayuran negara sekali gus menstabilkan harganya di pasaran.

Beliau sehubungan itu meminta kerajaan baharu ketika ini mengubah atau menyemak semula dasar sedia ada bagi memastikan krisis bekalan sayur-sayuran tidak berpanja­ngan dan terus membebankan rakyat.

Jelasnya, krisis agro makanan negara didakwa berlaku disebabkan oleh dasar kerajaan yang tidak mahu membuka ta­nah-tanah baharu untuk pertanian dan tanah-tanah terbiar tidak diusahakan sepenuhnya.

Beliau berkata, pembukaan tanah baharu untuk pertanian penting bagi meningkatkan sumber agro makanan negara termasuk sayur-sayuran yang sedang berdepan krisis kekura­ngan bekalan antara 30 ke 60 peratus pada ketika ini ekoran faktor cuaca.

Menurutnya, banyak negeri mempunyai tanah yang boleh dibuka untuk bidang pertanian termasuk di Cameron Highlands tapi ia ‘terhalang’ oleh dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan sendiri.

“Buka tanah baharu dan ta­nah-tanah terbiar sewakan kepada petani untuk kita usahakan sekali gus boleh mening­katkan sumber agro makanan termasuk sayur-sayuran. Daripada tanah terbiar begitu saja, apa hasil yang kita dapat,” soal Ee Mong.

“Di Cameron Highlands misalnya, ada kawasan sesuai dan boleh dibuka untuk pertanian tetapi dasar kerajaan di kawasan tanah tinggi ia tidak boleh sewenang-wenangnya dibuka tanah baharu.

“Jadi sayur yang sepatutnya kita boleh tanam di Cameron Highlands seperti ubi kentang, bawang besar, lobak, brokoli, daun saderi dancili merah semuanya diimport. Bukan sikit tapi 70 peratus sayur diimport dari luar negara,” katanya.

Mengulas isu kekurangan sayur-sayuran 30 hingga 60 peratus ketika ini, beliau berkata, ia tidak dapat dielakkan disebabkan keadaan cuaca tidak menentu yang turut menjejaskan import bekalan itu.

Beliau berkata, sebagai contoh, jika cuaca baik, anggaran hasil sayur tempatan yang dapat dikeluarkan 100 kilogram, tetapi disebabkan hujan, ia berkurangan kepada 30 kilogram.

“Disebabkan hasil kurang, harga pun naik mendadak antara 50 ke 100 peratus. Bendi misal sebelum ini RM6 sekilogram naik kepada RM14 sekilogram. Timun sebelum ini RM1 ke RM2 sekilogram, naik ketika ini kepada RM7 sekilogram.

“Tomato daripada RM5 ke RM6 sebelum ini, naik kepada RM9 ke RM10 sekilogram. Cili merah RM13 ke RM15 sebelum ini naik RM20 sekilogram. Ini tidak dapat dielakkan kerana bukan sahaja hasil kurang malah kos input yang terlalu tinggi seperti baja kimia, racun perosak, jentera kecil dan mesin-mesin serta bijih-bijih benih.

“Jadi petani terpaksa menaikkan harga sayur, itupun hanya memperoleh untung kecil malah ada yang masih rugi kerana modal lebih besar dari keuntungan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN