Budaya lompat apabila parti kalah harus dihentikan-Warisan

Budaya lompat apabila parti kalah harus dihentikan-Warisan

IBU PEJABAT Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu, Sabah.-UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketiadaan undang-undang Anti Lompat Parti di Sabah tidak harus dilihat sebagai tiket untuk wakil rakyat melompat apabila parti yang dianggotai kalah pada pilihan raya.

Di Sabah, biarpun tidak menjadi kesalahan untuk melompat parti namun, timbul persoalan adakah perjuangan dan ideologi ahli politik itu begitu senang untuk dijual beli.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Wirawati Parti Warisan (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, perjuangan seseorang ahli politik itu tidak seharusnya berubah mengikut politik semasa.

“Kita tidak mahu generasi akan datang mahupun wakil rakyat menjadikan budaya lompat parti ini sebagai perkara yang biasa. Jika parti yang diwakili kalah, dia akan berubah sokongan kepada parti yang menang,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan yang bertindak keluar parti pada 6 Februari lalu bagi menjadi ADUN Bebas dan menyokong pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Menurut Jo-Anna, walau apa juga alasan wakil rakyat untuk melompat, tindakan mereka sudah pasti mengecewakan rakyat yang telah mengundinya atas tiket parti yang diwakili.

Malah, rakyat juga pasti bosan dan keliru dengan tindakan wakil rakyat untuk bertukar parti atas alasan yang dicipta.

JO-ANNA SUE HENLEY RAMPAS

“Malaysia sudah dibentuk selama 60 tahun namun, budaya politik terutamanya di Sabah belum cukup matang dan profesional yang akhirnya akan meruntuhkan sistem demokrasi di wilayah ini. 

“Kita sudah maklum, Sabah merupakan satu wilayah yang memerlukan banyak pembangunan dari sudut infrastruktur dan sosial tapi, keadaan politik yang tidak stabil akan melambatkan lagi pembangunan yang dirancang.

“Justeru, undang-undang Anti Lompat Parti di Sabah perlu segera dilaksanakan untuk mengekang mana-mana pihak terus mencemar institusi demokrasi dan berpegang pada Perlembagaan Negeri,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, Warisan memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun kini, hanya tinggal 16 kerusi sahaja lagi selepas sembilan ADUN keluar meninggalkan parti.

Ia termasuk tiga ADUN yang keluar pada 6 Februari lalu iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Enam ADUN lain ialah Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan).

Dalam pada itu  Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, kekuatan Parti Warisan (Warisan) di Sabah semakin merosot susulan tindakan tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu keluar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, secara matematiknya apabila jumlah ADUN berkurangan sudah pasti kekuatan sesebuah parti itu akan merosot.

“Dalam konteks permainan nombor, apabila bilangan sokongan berkurang maka, secara automatik kekuatan parti juga akan berkurang.

“Namun, saya percaya tindakan tiga ADUN Warisan itu adalah susulan daripada Langkah Kinabalu yang gagal. Di sini dapat dilihat bukan semua ahli politik termasuk dari Warisan dan UMNO ingin bermain berpolitik tanpa penghujungnya. 

“Sekali-sekala kita perlu terima hakikat bahawa ada juga wakil rakyat daripada pembangkang yang ingin memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi yang telah memberi amanah kepada mereka untuk mengangkat suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata, keadaan yang berlaku ini memerlukan negeri Sabah melihat semula keperluan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti.

Pada masa ini, terdapat perkara-perkara yang perlu dimurnikan sebelum undang-undang Anti Lompat Parti dikuatkuasakan.

“Ketika ini jelas kelihatan Akta Anti Lompat sedia ada mempunyai kelemahan. Undang-undang tersebut seolah-olah nampak hanya terguna pakai terhadap individu (ahli politik) tetapi tidak terpakai bagi parti atau perikatan politik.

“Begitu juga polemik persoalan apakah impak perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Ia secara tidak langsung memperlihatkan ketua-ketua parti telah melucutkan hak ahli-ahli Parlimen yang berlainan parti untuk mempertahankan kebebasan mereka dalam membuat pilihan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, perjanjian yang dimeterai akan menyebabkan ahli-ahli Parlimen yang bercanggah pendapat tidak mampu bersuara untuk mempertahankan hak demokrasi dan kebebasan mereka. 

Justeru, setelah semua perkara atau persoalan sedemikian dapat dimurnikan maka, barulah ada keperluan untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti di DUN Sabah dengan kadar segera.

Pada 6 Februari lalu, tiga ADUN Warisan iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) membuat kenyataan bersama mengumumkan keluar dari Warisan dan meletak semua jawatan di dalam Warisan berkuatkuasa serta-merta.

Setakat ini, sembilan ADUN Warisan telah bertindak keluar parti hingga menyebabkan parti itu hanya mempunyai 16 kerusi DUN, berbanding 23 kerusi yang dimenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.-utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya