Boleh siasat, dakwa hakim tetapi perlu ada 'adab' - Tengku Maimun

Boleh siasat, dakwa hakim tetapi perlu ada ‘adab’ – Tengku Maimun

TENGKU MAIMUN TUAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana hakim yang masih lagi berkhidmat tidak kebal daripada disiasat oleh pihak berkuasa dan didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Namun, proses tersebut hendaklah dilakukan mengikut protokol yang betul agar ia tidak dilihat sebagai mengganggu proses keadilan atau salah guna kuasa.

“Hakim di peringkat tertinggi (Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Persekutuan) tidak kebal daripada siasatan jenayah atau pendakwaan. Mereka tidak perlu digantung tugas atau dipecat sebelum sesuatu siasatan dijalankan atau didakwa.

“Bagaimanapun, walaupun pihak berkuasa mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menyiasat dan pihak pendakwa raya boleh meneruskan dengan pendakwaan terhadap hakim berkenaan, namun kuasa tersebut hendaklah digunakan dengan niat baik dan hanya bagi kes-kes yang betul.

“Bukan sahaja boleh membawa kepada pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa dan menghalang keadilan, malah ia boleh dijadikan asas bagi aduan ke mahkamah melalui kuasa semakan,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata demikian ketika membaca penghakiman ringkas panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan berhubung permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan perlembagaan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Turut bersidang pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Hakim Mohd. Nazlan merupakan hakim yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas mendapati bekas Perdana Menteri itu bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn. Bhd. (SRC International).

Dalam saman pemula yang difailkan Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai selaku plaintif, mereka antara lain menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ke atas Hakim Mohd. Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Menurut plaintif, siasatan ke atas Hakim Mohd. Nazlan adalah satu pelanggaran oleh cabang eksekutif, terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa.

Mereka menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dua persoalan perlembagaan yang dibangkitkan adalah sama ada badan siasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Persekutuan yang sudah digantung mengikut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan kedua, sama ada pendakwa raya diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang sedang berkhidmat mengikut Artikel 145 (3) perlembagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya