PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali menarik balik kenyataan yang mengaitkan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘dalang’ kepada pertuduhan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, tuduhan Muhyiddin adalah sangat melampau dengan disokong Azmin yang menyatakan pendakwaan rasuah ahli PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tindakan dirancang.

Justeru, katanya, tuntutan itu sebagai tindak balas daripada tuduhan tidak berasas yang dikeluarkan Pengerusi dan Ketua Penerangan PN berkenaan.
Katanya, fintah liar itu tidak boleh dibiarkan berlarutan dijadikan bahan untuk menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang dilakukan.
“Di dalam Letter of Demand (LOD) yang dihantar, kedua-dua penama tersebut mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan.
“Datuk Seri Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin-pemimpin daripada PN dan fokus Timbalan Perdana Menteri adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shamsul Anuar berkata, tuduhan itu adalah satu fitnah yang melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN itu sendiri.

“Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan bahawa kedua-dua individu utama dalam parti PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.
“Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah yang biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah dari kepimpinan parti mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN