Belanjawan bukti komitmen kerajaan tambah baik ekonomi rakyat

Belanjawan bukti komitmen Kerajaan Perpaduan tambah baik ekonomi rakyat – Hajiji 

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan 2023 menunjukkan gambaran sebenar komitmen kerajaan perpaduan dalam mengukuhkan kembali keadaan kewangan negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyambut baik 12 inisiatif Belanjawan Malaysia Madani yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Kita mengalu-alukan peruntukan RM6.5 bilion kepada Sabah yang menunjukkan peningkatan 3.1 peratus daripada jumlah peruntukan yang diumumkan dalam Bajet 2023 yang dibentangkan kerajaan terdahulu.

“Kita juga menyambut baik peruntukan RM2.5 bilion kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan projek prasarana awam seperti jalan raya, lampu jalan, bekalan elektrik dan air.

“Kita mengalu-alukan Komitmen kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah-Sarawak dengan memperuntukkan RM20 bilion,” katanya semasa mengulas tentang pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

Malah, Anwar juga mengarahkan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk memantau pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo ini agar projek itu tidak terus menjadi perbincangan setiap kali pembentangan Belanjawan untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Hajiji turut menyambut baik komitmen kerajaan Persekutuan untuk memberi kelulusan projek berjumlah RM50 juta kepada jabatan teknikal di Sabah dan Sarawak.

Mengenai komitmen untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) pada tahun ini, Hajiji menyifatkan inisiatif tersebut sebagai langkah yang baik namun, diharap pelaksanaannya lebih efisien supaya boleh mencapai sasaran.

Di samping itu, beliau turut mengalu-alukan peruntukan RM1 bilion kepada Sabah dan Sarawak untuk pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan negara di Kalabakan susulan rancangan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan.

Menurut beliau, kerajaan juga akan menggesa agar pembinaan kompleks yang sama dapat dibangunkan di Bantul, Pensiangan.

Jelas beliau, kerajaan turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan keselamatan menerusi tambahan 42 pos kawalan di sempadan negara termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN