Belanjawan 2023 bantu jayakan lebih banyak program rahmah - Salahuddin - Utusan Malaysia

Belanjawan 2023 bantu jayakan lebih banyak program rahmah – Salahuddin

SALAHUDDIN AYUB (tengah) dan Fuziah Salleh (kiri) menunjukkan Burger Rahmah yang dijual pada harga RM5 di Restoran Burger King di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan peruntukan yang diraih daripada Belanjawan 2023 akan menjayakan lebih banyak program kerajaan seperti Menu Rahmah.

Ini selepas kementeriannya menerima RM1.25 bilion berbanding RM1.15 bilion bagi Belanjawan 2022 iaitu peningkatan kira-kira lapan peratus.

“Belanjawan ini mengiktiraf inisiatif payung rahmah, pengiktirafan kepada peniaga kecil, golongan usahawan industri kecil dan sederhana dalam bidang industri makanan khususnya warung-warung peniaga tepi jalan, restoran, kedai makan terpilih, pemain industri makanan segera McDonald’s, KFC, Burger King serta individu yang membuat inisiatif menjayakan payung rahmah.

“Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kerana setakat ini kerajaan tidak membelanjakan satu sen pun dalam menjayakan inisiatif menu rahmah khususnya.

“Hari ini terima satu berita gembira apabila menerima peruntukan RM100 juta untuk program jualan rahmah yang diusahakan kementerian yang mesti dilakukan di 222 kawasan Parlimen bagi manfaat golongan berpendapatan rendah, saya yakin melalui pengalaman libat urus, kita akan mendapat menjayakan program, rakyat akan dapat menikmati harga barangan asas sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen selepas Belanjawan 2023 hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya akan menggerakkan seluruh pasukan bagi memastikan peruntukan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada golongan sasar.

“Kita juga mendengar lebih kurang RM700 juta untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dilaksanakan Kementerian Ekonomi untuk projek basmi kemiskinan melibatkan beberapa kementerian penting termasuk kementerian kita.

“Kita bersedia bila-bila masa, kita tidak mahu lagi isu miskin tegar berlarutan tanpa noktah, kita akan sedaya upaya akan menjayakan program, saya gembira kerana banyak program kerajaan yang telah dirahmahkan dengan skim pinjaman rahmah, belia rahmah dan seumpamanya, insya-Allah, kita akan menjadi teras kepada semua program yang menjurus kepada kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN