Bekas pekerja kilang dipenjara sembilan tahun, empat sebatan - Utusan Malaysia

Bekas pekerja kilang dipenjara sembilan tahun, empat sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pekerja kilang kekal dipenjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas tiga kesalahan merompak bersenjatakan pisau dan mencuri di tiga buah kedai serbaneka di Johor Bahru, Johor dua tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Lim Chong Fong selepas menolak rayuan akhir Ahmad Sadeli Mohd. Ali, 32.

“Setelah meneliti fakta kes ini kami mendapati bahawa hukuman tiga tahun penjara (bagi setiap pertuduhan) adalah tidak berat.

“Oleh yang demikian keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi berhubung hukuman penjara secara berturut-turut adalah betul manakala hukuman-hukuman berkaitan adalah dikekalkan,” kata Hakim Hanipah.

Dalam prosiding hari ini, Ahmad Sadeli diwakili peguam Bustaman Menon manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ahmad Sadeli didakwa merompak bersenjatakan pisau iaitu wang tunai RM747, telefon bimbit dan dua kotak rokok Dunhill Red Classic.

Kesalahan itu dilakukan di dua buah kedai serbaneka di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram dan Taman Mesra, Seleng di Johor Bahru masing-masing pukul 10.30 pagi dan 11.05 pagi pada 19 Disember 2021.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Sadeli didakwa mencuri wang tunai RM150 dan telefon bimbit milik seorang wanita di sebuah kedai serbaneka di Taman Nusantara, Gelang Patah, Johor Bahru pukul 3.30 pagi pada 4 Disember 2021.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Pada 28 Disember 2021, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua serta penjara sama bagi pertuduhan ketiga selepas Ahmad Sadeli mengaku bersalah atas semua pertuduhan.

Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berturut-turut yang mana Ahmad Sadeli perlu menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun dan empat sebatan.

Kemudian pada 27 Jun 2022 Mahkamah Tinggi Johor Bahru turut mengekalkan hukuman sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya