Ayam: Kerajaan kena campur tangan, elak monopoli kartel

Ayam: Kerajaan kena campur tangan, elak monopoli kartel

Kerajaan diminta campur tangan, bagi elak monopoli kartel untuk tangani isu ayam daging dan ayam telur,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa segera menyelesaikan masalah ternakan ayam daging dan ayam telur dengan membangunkan sendiri sektor pembekalan anak ayam day old chick (DOC) serta sektor makanan dedak berbanding bergantung seratus peratus kepada kartel.

Sumber industri yang dihubungi berkata, langkah ini perlu bagi mengelakkan kerajaan berterusan menyuntik subsidi kepada syarikat-syarikat gergasi industri itu yang hakikatnya langsung tidak mempunyai semangat nasionalisme untuk memperkasa sektor keselamatan makanan negara, sebaliknya cuma sekadar memikirkan keuntungan masing-masing.

Sumber berkata, bukti jelas bahawa subsidi yang disuntik kerajaan kepada syarikat gergasi industri ayam dan telur menemui kegagalan dapat dikesan apabila mereka berterusan mengeksport ayam serta telur keluar negara, sedangkan keperluan domestik sangat kritikal.

“Baru-baru ini, saya merujuk kepada berita Utusan Malaysia bahawa kemungkinan penternak tidak dapat memenuhi permintaan ayam menjelang hari raya. Ini memang betul, sebab macam mana kami mahu menambah pengeluaran sedangkan sebagai penternak kontrak, kami terikat dengan kartel-kartel yang membekalkan anak ayam serta makanan kepada kami.

“Kami terpaksa mengikat kontrak dengan kartel dan integrator kerana di negara ini, memang lumrahnya untuk penternak ayam sekadar menternak. Kami diberikan bekalan DOC, dedak serta vaksin oleh kartel dan integrator. Kos ini semua kami kena tanggung. Kemudian kami ternak sampai anak ayam itu cukup umur sekitar 35 hingga 40 hari, bergantung kepada kontrak,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, masalah dalam kalangan penternak kontrak berlaku kerana kerajaan langsung tiada mekanisme mengawal bekalan dan harga anak ayam serta dedak, yang merupakan dua elemen paling banyak menelan belanja dalam sektor ternakan ayam.

Untuk rekod, berdasarkan pertemuan akhbar ini dengan beberapa penternak sektor ayam dan telur, masing-masing mendedahkan bahawa purata harga anak ayam sekarang adalah RM3.30 seekor, manakala harga dedak secara purata berjumlah RM135 bagi 50 kilogram dedak.

Mengulas perkara itu, sumber berkata, langkah kerajaan menyuntik subsidi kepada pengeluar DOC dan makanan kononnya mahu menurunkan harganya gagal kerana harga dedak dan DOC tidak turun-turun.

Malah, dikhuatiri tindakan menyuntik subsidi secara berterusan akan mengakibatkan kartel serta integrator ‘naik lemak’ dan sentiasa selesa menyedut wang subsidi namun gagal menyelesaikan masalah bekalan dan harga DOC serta makanan ayam.

“Tahun lepas, kerajaan menyuntik berbilion ringgit subsidi kepada sektor ayam dan telur. Adakah ia berkesan, sedangkan harga DOC sekarang ini mencecah RM3.40 seekor? Sepatutnya, lepas bagi subsidi, harga turunlah. Tapi harga tak turun-turun.

“Sama juga dengan dedak. Akibat polisi kerajaan yang melepaskan segala urusan makanan ayam kepada syarikat swasta, mereka sewenang-wenang menaikkan harga dedak sesuka hati. Ini memang terbukti berlaku, sebab tahun lepas Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengesahkan wujud aktiviti kartel dalam sektor makanan ayam,” kata sumber.

Untuk rekod, MYCC pada 5 Ogos tahun lepas, mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan mendapati, lima perusahaan terlibat dalam kegiatan kartel membabitkan makanan ayam.

Hasil siasatan agensi itu mendapati, maklumat perdagangan sensitif yang telah dikongsi antara perusahaan-perusahaan tersebut dilihat berpotensi mengganggu persaingan dalam pasaran.

Malah kata MYCC, melalui penetapan harga pada kuantum makanan ayam yang sama telah menyebabkan kenaikan dalam kalangan perusahaan, mengakibatkan pilihan pembeli dalam memilih pembekal makanan ayam pilihan mereka yang menawarkan harga terbaik menjadi terhad.

TUBUH LEMBAGA UNGGAS

Mengulas perkara itu, sumber mendesak kerajaan segera melantik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terlibat secara langsung mengeluarkan anak ayam DOC serta menghasilkan makanan ternakan itu.

Sejurus melantik GLC sebagai pengeluar DOC dan pengimport ramuan menghasilkan makanan ayam, kerajaan perlu segera menubuhkan lembaga unggas untuk mengawal selia dua komponen penting dalam ekosistem ternakan ayam itu.

“Melalui penubuhan lembaga unggas, maka kita boleh fokus seratus-peratus kepada industri ayam, bukan macam sekarang apabila menyerahkan industri yang saiznya terlalu besar ini kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Harus diingat, JPV cuma sebuah agensi, mereka terpaksa menyelia semua sektor ternakan daripada ruminan sampailah kepada unggas. Saiz industri ayam dan telur terlalu besar untuk diselia hanya oleh JPV.

“Jadi, melalui penubuhan lembaga khas unggas ini, lembaga ini boleh fokus dan memberi sepenuh tumpuan kepada sektor ayam dan unggas,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan melalui maklumat dari tiga persatuan penternak di beberapa wilayah, mereka menyatakan keresahan tidak dapat memenuhi keperluan ayam pada musim Aidilfitri tahun ini.

Kesemua mereka berkata, permintaan ayam dalam musim Aidilfitiri biasanya meningkat 100 peratus berbanding keperluan harian 2.2 juta ekor ayam, iaitu sebanyak 4 juta diperlukan sehari dalam musim Aidilfitiri, dengan masing-masing menjangkakan tidak dapat menambah saiz operasi sedia ada akibat kenaikan mendadak harga anak ayam serta dedak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN