Anggota SAR tak putus asa, patah semangat jalankan tugas pencarian - Utusan Malaysia

Anggota SAR tak putus asa, patah semangat jalankan tugas pencarian

PASUKAN penyelamat Malaysia mengeluarkan mayat yang tertimbus dalam runtuhan bangunan susulan gempa bumi di Nurdagi, Turkiye. - IHSAN SMART
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang terlibat misi menyelamat mangsa gempa bumi di Nurdagi, Gaziatep, Turkiye tidak berputus asa dan patah semangat dalam menjalankan tugas pencarian yang kini memasuki hari kesembilan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Komander pasukan penyelamat kedua Malaysia (MAS-10), Abdul Manaf Che Isa berkata, semangat kesemua 140 petugas semakin membara apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama turun membuat lawatan dan memberi motivasi kepada anggota yang berada di ground zero.

Menurut beliau, setakat semalam, penugasan pasukan SAR berjalan lancar dan baik yang mana atur gerak bermula fasa rapid dan kemudian ke fasa secondary dengan penggunaan peralatan khas iaitu alat pengesan dan pemotong, kamera pengesan, sensor pergerakan dan anjing pengesan dalam misi pencarian itu.

“Sekarang pasukan SAR telah memasuki fasa ‘full of coverage’ dengan penggunaan jentera berat seperti jengkaut (excavator) bagi mengeluarkan mana-mana mangsa yang dijangkakan tertimbus.

“Sehingga semalam, kedua-dua pasukan SAR telah mengeluarkan 52 mangsa yang mana 47 daripada mereka disahkan meninggal dunia dan lima masih hidup,” katanya ketika dihubungi di sini.

Jelas Abdul Manaf, kelengkapan aset SAR, perubatan dan keperluan logistik adalah mencukupi.

Katanya, bagi pasukan SMART selain daripada kesiapsiagaan anggota dan aset, perkara yg perlu diberi perhatian adalah persediaaan bagi menghadapi perubahan cuaca dan bekerja dengan akses bahasa yang terbatas.

“Apapun ia berjaya ditangani dengan baik dengan bantuan kedutaan Malaysia yang menyediakan jurubahasa bagi membolehkan koordinasi bersama pihak lokaliti berjalan baik dan lancar.

“Kekangan keperluan bantuan logistik juga berjaya diurus tadbir baik oleh pihak LEMA (Local Emergency Management Agency),” jelasnya.

Ditanya keadaan semasa petugas SMART di Turkiye, jelas beliau, ada petugas yang mengalami masalah kesihatan dan direhatkan sementara waktu dalam operasi SAR.

Dalam perkembangan sama, Abdul Manaf berkata, keseluruhan bandar Nurdagi, Gaziatep, telah dikosongkan bagi memberi laluan kepada penugasan SAR.

“Mana-mana bangunan yang retak dan tidak stabil telah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negara itu atas faktor keselamatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya