KUALA LUMPUR: Amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus kerajaan, malah mencalar imej negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu mengakibatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 telah merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 yang kita capai 1998.
“Transparency International Malaysia menyebut asbab kemerosotan ini kerana kegagalan membendung rasuah politik,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023.
Tegas Anwar, Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir RM3 bilion ringgit meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur.
“Umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah,” katanya.
Selain itu, menurut Anwar, wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun lalu. – UTUSAN









