Akademi Qurra’ zahir solidariti buat mangsa gempa bumi Turkiye - Utusan Malaysia

Akademi Qurra’ zahir solidariti buat mangsa gempa bumi Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menzahirkan keprihatinan dan sokongan terhadap kejadian gempa bumi di Turkiye yang mengorbankan lebih 40,000 nyawa, program realiti, Akademi Qurra’ mengangkat tema kemanusiaan iaitu Solidariti Buat Turkiye pada persaingan minggu ketiga, Sabtu lalu.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, tema itu dipilih bersesuaian dengan keadaan semasa, sekali gus meningkatkan kepekaan peserta terhadap isu di sekeliling mereka.

“Sebagai peserta Akademi Qurra’, mereka wajib memenuhi keperluan semasa. Jadi, kami di pihak pengurusan program mengambil bahagian dalam memastikan perjalanan program ini selari dengan objektif.

“Begitu juga pada persaingan akan datang, ada tema tertentu ditetapkan. Contohnya pada minggu keempat, kami memilih peristiwa Israk Mikraj sebagai tema,” katanya.

Minggu ketiga Akademi Qurra’ menyaksikan penyingkiran peserta berusia 19 tahun, Tilmiz Adam atau Adam Hakimi Khairulnizam, qari di bawah bimbingan Mudarris Ammar Mukhlis.

Mengakui kecewa dengan penyingkiran itu, Tilmiz Adam berkata, program itu menjadi permulaan baharu untuk memanfaatkan segala teguran sebagai ruang memperbaiki diri.

“Saya tidak melihat ini sebagai noktah kepada perjuangan. Dengan pengalaman di Akademi Qurra’, saya akan gunakan untuk mencapai cita-cita menjadi johan Qari Antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Tilmiz Fahmi meraih kedudukan pertama, diikuti Tilmiz Akasyah (tempat kedua) dan Tilmiz Saifullah (tempat ketiga). Gelaran Anugerah Alunan Terindah pula menjadi milik Tilmiz Saifullah.

Persaingan minggu tersebut juga mencuri perhatian ramai apabila juri jemputan, Ustaz Dr. Anuar Hasin melontarkan komen ‘keras’ untuk memastikan setiap peserta sedar kelemahan dan segera memperbaiki mutu bacaan mereka.

“Saya tidak mahu peserta terlalu selesa dengan komen yang baik hingga tidak sedar kelemahan. Ia akan menyebabkan mereka tidak melakukan penambahbaikan terhadap mutu bacaan.

“Memang ada peningkatan, cuma perlu perubahan yang lebih baik ditunjukkan sebagai tanda kematangan peserta,” katanya.

Menurutnya, persaingan minggu keempat semakin genting dan beliau mengharapkan peserta lebih berani mencipta kelainan dalam bacaan.

“Mereka perlu menonjolkan variasi dalam bacaan dan tidak hanya statik dalam satu taranum sahaja. Guru mereka perlu memastikan pelajar ini diberikan perhatian lebih, termasuk dari segi tajwid supaya tidak melakukan kesalahan ketara,” katanya.

Bagi Zulkarnaen, teguran juri jemputan itu tidak seharusnya diperdebatkan, malah ia membuka ruang kepada peserta mendapatkan sebanyak mungkin maklum balas untuk memperbaiki mutu bacaan.

“Teguran juri membantu peserta memahami dan mengenal pasti kelemahan mereka. Jika tiada komen seperti itu, peserta tidak jelas kesalahan yang dilakukan dan akan terus berada pada tahap selesa.

“Apabila tahu kesilapan yang dilakukan dan faham cara memperbaikinya, peserta akan berusaha untuk tidak mengulanginya lagi,” katanya.

Program Akademi Qurra’ dihoskan Fakhrul UNIC, disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap terdiri daripada Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Qari Muhammad Qayyim Nizar bersama juri jemputan.

Sementara itu, Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing peserta terdiri daripada Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN