BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri menziarahi mayat mendiang ibu angkatnya, Cheah Seoh Lian di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang di sini hari ini.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba di kediaman Seoh Lian pada kira-kira pukul 12.45 tengah hari untuk memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Seoh Lian, 83, yang meninggal dunia dalam tidur pada pagi Ahad lalu.
Ahmad Zahid menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Seoh Lian dan berdukacita kerana kehilangan ibu angkatnya itu.
“Saya kehilangan emak angkat dan masyarakat Bagan Datuk tahu setiap kali Tahun Baharu Cina saya pasti mengunjungi beliau. Hubungan kekeluargaan kami sangat rapat malah anak-anak dan menantu beliau sudah seperti adik beradik saya sendiri.
“Kali terakhir saya bertemu emak angkat saya ialah pada hari kedua perayaan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini. Saya sempat makan dengan dia, saya sempat berbual dengan beliau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mendiang Seoh Lian merupakan ibu kepada kenalan rapat Ahmad Zahid iaitu Beh Song Wan, 60, atau Bujang dan sudah menjadi kelaziman buat Ahmad Zahid mengunjungi keluarga itu pada kali sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, memberi penghormatan kepada mayat orang bukan Islam dianjurkan Rasullah seperti mana baginda menghormati mayat orang Yahudi yang dibawa melalui jalan di Masjid Nabawi.
Beliau berkata, dalam konteks negara masyarakat majmuk di Malaysia, orang Islam juga perlu mengikuti sunah Rasullah iaitu hormati agama lain.
“Saya yakin jika kehormanian ini kita pertahan dan pertingkatkan, juga silang budaya dalam kalangan rakyat, bukan sekadar menghormati tetapi memahami agama, budaya dan bahasa yang berbeza maka ini adalah kunci kepada keharmonian rakyat seluruhnya.
“Soal politik hendaklah kita ketepikan. Di sini hari ini, bersama-sama saya bukan sahaja orang Melayu tetapi rakan-rakan Cina dan India. Keharmonian ini perlu kita wujudkan dalam keluarga dan masyarakat keseluruhannya, InsyaAllah jika ini dapat kita lakukan, kita akan lebih rasa hormat sesama kita,” katanya.
Sementara itu, Song Wan berkata, dia dan ahli keluarganya menyedari ibu mereka sudah meninggal dunia pada kira-kira pukul 8 pagi Ahad lalu.
“Ibu saya meninggal dunia dalam tidur. Sebelum itu dia tidak mengadu apa-apa sakit. Mayat mendiang akan disemadikan di Batu 8 Kuala Bikam.
“Saya terharu dengan kesudian Timbalan Perdana Menteri menziarahi mayat mendiang ibu kami walaupun beliau sibuk dengan tugasnya,” katanya. – UTUSAN