KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli parlimen kerana menjadikan saranan Seri Paduka mewujudkan Kerajaan Perpaduan sebagai hala tuju bagi menjamin kestabilan politik dalam negara.
“Beta menyambut baik permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia yang selari dengan cetusan hasrat murni beta untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.
“Dengan demikian, kerajaan beta boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi menjamin kestabilan politik dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat,” titah baginda dalam ucapan perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan kepada pengenalan inisiatif negara madani yang merangkumi pelbagai aspek kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, ihsan dan rahmah.
“Besar harapan beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara,” titah baginda.
Seri Paduka juga turut mengucapkan kepada Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Syabas juga kepada memanda Perdana Menteri yang telah membuktikan keabsahan beliau melalui usul undi percaya di Dewan yang mulia ini pada 19 Disember 2022 yang lalu,” titahnya. – UTUSAN










