50 peratus pesakit kanser dapat manfaat daripada Radioterapi LINAC  - Utusan Malaysia

50 peratus pesakit kanser dapat manfaat daripada Radioterapi LINAC 

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 50 peratus pesakit kanser akan mendapat manfaat daripada Radioterapi Elekta Versa HD Linear Accelerator (LINAC).

LINAC akan mampu mengubati dalam purata 20 pesakit kanser setiap hari dengan prosedurnya mengambil masa hanya lima hingga 15 minit berbanding dahulu yang mengambil 30 minit setiap sesi.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, sistem itu boleh melakukan prosedur rawatan canggih yang menggunakan penyasaran yang tepat.

“Ini dilakukan dengan memberikan dos sinaran yang lebih tinggi di kawasan yang sukar dicapai atau sasaran yang berhampiran dengan organ penting bagi mengurangkan risiko kesan sampingan serta memendekkan masa rawatan.

“Justeru, dengan penggunaan teknologi terkini boleh menyediakan pesakit dengan perubatan berkualiti terbaik serta meningkatkan peluang mereka untuk diubati daripada kanser,” katanya semasa sidang akhbar selepas pelancaran Hari Kanser Sedunia dan pelancaran Radioterapi LINAC di KPJ Damansara di sini hari ini. 

Terdahulu, di Malaysia sahaja dilaporkan peningkatan 11 peratus kes kanser yang direkodkan dari 2012 hingga 2015, menjadikan jumlah itu kepada 115,238 kes daripada 103,507 kes dari 2007 hingga 2011.

Pada 2020, 48,639 kes kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser direkodkan.

Dalam tempoh lima tahun menjelang 2020, terdapat 128,018 kes kanser direkodkan di Malaysia.

Sementara itu, Zaliha berkata, 350 orang menghadiri sesi town hall yang diadakan semalam, banyak isu dibangkitkan dan pihaknya ambil maklum, semoga dapat dilaksanakan. 

“Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mempunyai beberapa cadangan mengenai jawatan tetap bagi doktor kontrak. Isu ini bukan sahaja melihat kepada ketersediaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tetapi untuk membantu ketulusan prosedur tersebut,” katanya.

Pada masa yang sama beliau mengulas mengenai vaksin Bivalent Covid-19 yang masih dalam proses perundingan bersama Pfizer-BioNTech.

“Kami akan bertemu dengan syarikat farmaseutikal dalam masa beberapa minggu untuk menyelesaikan perkara itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya