PETALING JAYA: Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) akan menawarkan khidmat pengantaraan secara percuma bagi menyelesaikan 26 jenis pertikaian komersial melibatkan tuntutan RM250,000 dan ke bawah menerusi Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono AIAC yang akan dilancarkan pada 18 Mei ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif itu bagi menyokong hasrat Kerajaan Madani untuk memperkukuh akses kepada keadilan yang lebih cepat, mudah diakses dan berkos efektif untuk rakyat.
Katanya, Jemaah Menteri semalam turut dimaklumkan mengenai aspirasi nasional penubuhan Pusat Mediasi Madani (PMM) bagi menyokong agenda Kerajaan Madani dalam memperluas akses rakyat kepada sistem keadilan negara melalui mekanisme pengantaraan atau mediasi.
“Bagi tujuan ini, PMM akan memainkan peranan penting dalam memperkasakan perkhidmatan pengantaraan di Malaysia secara bersasar dan holistik.
“Ini khususnya melalui usaha mempergiat advokasi mengenai pengantaraan, memperkasakan kompetensi pengantara dalam negara, meningkatkan keyakinan rakyat terhadap mekanisme pengantaraan serta menjalin kerjasama strategik bersama agensi dan institusi berkaitan secara inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata, menerusi pelaksanaan inisiatif tersebut, AIAC akan menyediakan khidmat pengantaraan untuk menyelesaikan 26 jenis pertikaian komersial secara percuma bagi nilai tuntutan RM250,000 dan ke bawah.
Katanya, skop pertikaian komersial itu meliputi perkhidmatan, pembekalan, jual beli, perdagangan dan pemasaran, hartanah, syarikat dan perkongsian, e-dagang serta ekonomi digital.
“Bermula 18 Mei 2026, orang ramai boleh merujuk pertikaian komersial ini terus kepada AIAC atau secara dalam talian.
“Bagi menjayakan inisiatif tersebut, seramai 170 pengantara tempatan dan antarabangsa telah mengemukakan sokongan terhadap AIAC serta menyatakan kesediaan mengendalikan proses mediasi bagi pertikaian komersial secara percuma setakat ini,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan itu dijangka memberi manfaat khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan usahawan serta penggiat industri termasuk industri kreatif selain rakyat yang berhadapan dengan pertikaian bernilai kecil.
“Inisiatif tersebut merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Madani selaras dengan agenda reformasi institusi serta usaha meningkatkan kecekapan sistem keadilan negara demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN







