PETALING JAYA: Sebanyak 444,120 laporan direkodkan Polis Kuala Lumpur di ibu kota dan Putrajaya sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah laporan diterima, kira-kira 40 peratus dirujuk dengan elemen siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sebanyak 60 peratus lagi laporan diklasifikasika sebagai laporan yang dirujuk kepada agensi lain serta tindakan pentadbiran seperti kes kematian semula jadin.
“Jumlah itu menyaksikan peningkatan berbanding 374,588 laporan polis direkod pada 2021. Kita menganggarkan 50 laporan yang kami terima secara purata setiap hari di semua balai polis di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Pada pandangan saya, peningkatan ini adalah sesuatu yang baik kerana ia memperlihat keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan polis menyebabkan mereka terpanggil untuk membuat laporan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Himpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Kata Azmi, semua laporan yang diterima diambil tindakan dengan siasatan dan tindakan yang berbeza bergantung kepada situasi kes.
Jelasnya, sebanyak 86,409 kertas siasatan dibuka membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu.
“Jumlah itu meningkat sebanyak 22,474 kertas siasatan berbanding 63,935 kertas siasatan pada 2021.
“Dari segi pertuduhan pula, sebanyak 79,621 kes sudah dituduh di mahkamah pada tahun lalu, dan jumlah itu meningkat sebanyak 25,660 kes berbanding 53,961 kes dituduh pada 2021,” katanya. – UTUSAN