1,960 peserta muda masuk pertandingan mencipta melalui melukis

1,960 peserta muda masuk pertandingan mencipta melalui melukis

MOHAMAD Azlan Jaafar (empat dari kiri), Dr. Ruzaimi Mat Rani (dua dari kiri), Pengasas MindAppz, Thinesh (tiga dari kiri) dan beberapa tetamu kenamaan lain beramah mesra bersama para pemenang semasa Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis Kreatif dan Mewarna Peringkat Kebangsaan sempena Hari Malaysia 202 di Ibu Pejabat Media Mulia Sdn. Bhd., Petaling Jaya, Selangor. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 1,960 peserta muda menyertai pertandingan melukis dan mewarna yang bertujuan memupuk golongan belia mempunyai kemahiran visualisasi idea kritikal anjuran Media Mulia Sdn. Bhd., MindAppz, Drawzania serta Yayasan Wiba Prima.

Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar berkata, matlamat utama pertandingan sempena Hari Malaysia 2022 itu adalah menerapkan bidang kreatif dalam kalangan anak muda di seluruh negara.

“Ini untuk kita bantu lahirkan generasi masa depan yang pandai, bijak dan berpengetahuan agar dapat membangunkan negara. Kami akan terus melakukan usaha ini bagi menarik perhatian dan minat golongan anak muda.

“Amat penting untuk mereka ada sesuatu perkara diminati kerana ini membantu mereka menghasilkan kandungan yang memberi manfaat serta kebaikan kepada negara,” katanya semasa berucap pada Majlis Pe­nyampaian Hadiah Pertan­dingan Melukis Kreatif dan Mewarna Peringkat Kebangsaan sempena Hari Malaysia 2022 di Ibu Pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di sini, semalam.

Pertandingan yang berlangsung dari 22 September hingga 31 Disember 2022 itu mempunyai lima kategori mengikut kumpulan umur peserta dan setiap pemenang membawa pulang iPad, trofi dan e-sijil penghargaan.

Setiap peserta diminta log masuk ke akaun Drawzania premium MindAppz bagi melihat video dan melukis imej robot diberi. Bagaimanapun setiap daripada mereka bebas untuk ‘mencipta’ latar belakang imej yang menepati tema serta mengikuti kreativiti masing-masing.

Sementara itu, pengasas Drawzania, Dr. Ruzaimi Mat Rani berkata, 8,000 individu yang dilatihnya sebelum ini mempunyai pemikiran kritikal dan idea yang baik namun tidak mampu memvisualisasikan sehingga wujud batasan untuk menerangkan kepada pihak lain.

Katanya, Malaysia perlu menjadi negara pencipta dan bukan lagi pengguna, sehubungan itu kemahiran memvisualisasikan pemikiran kritikal secara tepat perlu diterapkan dalam setiap individu khususnya dalam kalangan anak muda.

“Salah satu perkara utama yang perlu kita kuasai dahulu untuk memajukan daya cipta adalah kemahiran melakar.

“Pertandingan dianjurkan ini juga bukan berkaitan seni tetapi keupayaan mencipta idea baharu yang mana peserta perlu menggunakan kelebihan kreativiti untuk menzahirkan idea-idea mereka dengan tepat dan cekap,” katanya.

Sementara itu, pemenang bagi kategori 13 tahun hingga 15 tahun, Amirul Danish Amirul Iskandar berkata, melalui pertandingan yang disertainya itu sudah membantu dalam mendapatkan ilmu terutama berkenaan kreativiti.

“Ia perkara baharu untuk saya, dapat belajar melukis. Dengan iPad yang dihadiahkan ini saya nak terus melukis dan mencari lebih banyak pertan­dingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya