18 premis makanan diarah tutup gagal patuhi tahap kebersihan

18 premis makanan diarah tutup gagal patuhi tahap kebersihan

PEGAWAI kesihatan memeriksa tahap kebersihan dan kualiti makanan yang dijual oleh peniaga dalam operasi bersepadu di Simpang Kuala, Alor Setar- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 18 premis makanan diarah tutup sementara setelah gagal mencapai penilaian kebersihan premis 75 peratus seperti ditetapkan undang-undang dalam operasi bersepadu dijalankan di bandar raya ini, Pokok Sena, Baling dan Sik, semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo berkata, selain itu sebanyak 135 notis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan berjumlah RM39,450 dikeluarkan setelah pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 230 premis di kesemua lokasi terlibat.

Malah, sebanyak 10 notis dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan nilai keseluruhan RM2,750.

“Dua notis dikeluarkan kerana merokok di kedai makan, tujuh notis lagi dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan satu notis kerana merokok di kawasan larangan iaitu kompleks beli-belah.

“Selain itu, sebanyak 10 premis turut dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dengan nilai keseluruhan RM5,000 setelah pihak kami mengesan pembiakan serangga tersebut di kawasan mereka.

“Kesemua yang menerima notis dan kompaun perlu menjelaskannya dalam tempoh ditetapkan. Jika tidak, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil,” katanya selepas mengetuai operasi bersepadu tersebut, malam tadi.

Operasi berkenaan disertai 118 anggota bermula dari pagi hingga ke malam yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan Negeri, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

PEGAWAI kesihatan memeriksa tahap kebersihan dan kualiti makanan yang dijual oleh peniaga dalam operasi bersepadu di Simpang Kuala, Alor Setar- UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Mengulas lanjut kata Dr. Othman, antara kesalahan yang sering dilakukan di premis menjual makanan adalah penyimpanan makanan yang telah dimasak dan bahan mentah di tempat sama terutamanya dalam peti sejuk.

“Selain itu ada antara premis terbabit kurang menitik beratkan aspek pembersihan antaranya lantai, dapur dan penyedut asap dapur yang kotor hingga berkeladak. Semua itu dikhuatiri mengundang kehadiran lalat, tikus dan lipas.

“Terdapat juga dalam kalangan premis tersebut yang mencampur adukkan susunan rencah dalam keadaan tidak teratur, tidak bersih dan berkulat. Semua itu boleh menjejaskan kesihatan pelanggan,” katanya.  

Tambah beliau, antara alasan diberikan peniaga-peniaga terbabit adalah mereka baru sahaja mengambil alih premis tersebut dan masih tidak sempat untuk membuat penambahbaikan.

“Itu antara alasan paling popular digunakan dalam operasi kali ini dan bagi mereka yang baru memulakan perniagaan, perlu ada kesedaran terhadap pentingnya menjaga kebersihan serta keselamatan premis makanan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya