Wabak ASF di Pulau Pinang semakin serius, 11 ladang babi dijangkiti - Utusan Malaysia

Wabak ASF di Pulau Pinang semakin serius, 11 ladang babi dijangkiti

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Wabak demam babi Afrika (ASF) di negeri ini semakin serius dengan sebanyak 11 ladang babi komersil dikesan positif wabak itu setakat hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebelum ini tujuh ladang dijangkiti wabak itu, namun meningkat selepas empat lagi ladang iaitu masing-masing dua di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) disahkan positif wabak berkenaan.

”Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah teruskan kerja-kerja persampelan dan mendapati sehingga kini ada 11 ladang yang positif wabak berkenaan.

”Setakat ini, tiga buah ladang membabitkan 4,000 ekor babi telah selesai dilupuskan dan pelupusan akan diteruskan ke ladang-ladang yang lain selepas ini,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan anggota perkhidmatan awam di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF sebagai ‘bencana’ selepas terdapat kes positif ASF dilaporkan di lima ladang babi komersial di dua daerah negeri itu dan babi yang dijangkiti akan dimusnahkan secara berperingkat.

Pemusnahan babi itu dilakukan menggunakan kaedah gas CO2 (Kepekatan Tinggi) yang mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan – Pengurusan Pembuangan Haiwan.

Menurut Kon Yeow, pihaknya meminta pemilik ladang untuk bekerjasama dengan JPV untuk memastikan wabak ASF tidak merebak ke kawasan lain.

“Terdapat pemilik ladang yang dikesan enggan melaporkan kes positif ASF kepada JPV dan mereka cuba menguruskan sendiri pengurusan bangkai babi di ladang mereka.

”Ini adalah berbahaya kerana virus berkenaan sudah berada di kawasan berkenaan, wabak ini juga tidak mempunyai sebarang vaksin dan boleh merebak dengan mudah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihak polis telah menjalankan empat sekatan jalan raya (SJR) iaitu satu di kawasan SPT dan tiga di SPS.

“SJR tersebut bagi mengawal pergerakan masuk babi hidup dan bangkai babi di kawasan yang disahkan positif wabak tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.