Umrah: Kos hotel, visa naik 400%

Umrah: Kos hotel, visa naik 400%

Keterujaan umat Islam seluruh dunia menunaikan umrah adalah antara yang mendorong kenaikan kos ibadat itu terutama selepas sempadan dibuka semula selepas ancaman Covid-19. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos mengerjakan umrah meningkat terlalu drastik susulan kenaikan harga tiket penerbangan, visa ke Arab Saudi serta kos penginapan hotel di Mekah dan Madinah yang naik lebih 400 peratus.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kenaikan itu dikesan pihaknya sejak banyak negara mula membuka se­mula sempadan masing-masing selepas sekatan perjalanan Co­vid-19, sekali gus me­ningkatkan permintaan jemaah yang mahu mengerjakan umrah.

Razali berkata, dalam kes tiket kapal terbang misalnya, pihaknya mengesan kenaikan­ dari RM2,800 kepada RM4,800, iaitu hampir 60 peratus bagi penerbangan dari Malaysia ke Arab Saudi.

“Maklumat yang kita peroleh, pertama kalau sebut tentang harga tiket penerba­ngan, dahulu kita boleh dapat harga sekitar RM2,700 hingga RM2,800. Tapi sekarang, bermula November lepas, harga sekitar RM3,800 hingga RM4,800. Kenaikan dalam RM2,000,” katanya.

Dalam masa sama, Razali berkata kos visa juga didapati meningkat kira-kira 400 peratus berbanding harga sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 iaitu cuma RM120 hingga RM130.

“Dalam kes visa, dulu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, visa baru RM120 hingga RM130. Semasa PKP, kos visa naik ke kadar RM200 lebih. Sekarang, kos visa Arab Saudi sudah mencecah RM600 lebih hingga RM700,” katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, kenaikan sama turut dikesan bagi harga hotel di Mekah yang mencecah hampir 400 peratus berbanding sebelum penularan wabak Covid-19 pada 2020.

“Kos hotel, kalau dulu di Mekah, hotel dalam radius 500 meter dari Masjidil Ha­ram, boleh dapat dalam 120 riyal satu malam untuk empat orang. Sekarang mencecah 300 riyal satu bilik.

“Lepas itu, kalau kita ambil hotel kelas tinggi seperti Hilton, Makkah Hotel and Towers atau Hotel Anjum Makkah, dulu biasanya harga sekitar 400 hingga 450 riyal. Tapi sekarang 1,200 riyal hingga 1,600 riyal,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan permintaan yang tinggi daripada jemaah umrah terutama selepas musim haji lalu telah melonjakkan harga bilik hotel di Mekah dan Madinah sehingga 110 peratus.

Dalam pada itu, Razali berkata faktor kenaikan didorong permintaan tinggi daripada jemaah umrah seluruh dunia, selain faktor kewangan.

“Faktornya, orang yang pergi umrah ramai. Sekarang, tiada lagi PKP. Jadi, seluruh dunia bertumpu pergi umrah, sebab itu harga naik.

“Bilangan jemaah tidak ber­kurangan. Sebab semasa dua tahun PKP, duit tidak mengalir dipakai. Waktu itu, kakitangan kerajaan misalnya, gaji tetap jalan dan berbayar.

“Kerja dari rumah, minyak petrol tak keluar belanja. Begitu juga sebilangan besar kakitangan swasta. Jadi, duit yang terkumpul dua tahun itu, ba­nyaklah duitnya,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Pengerusi Eksekutif An­dalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah yang dihubungi turut mengesahkan kenaikan kos hotel dan penginapan di Mekah dan Madinah.

Katanya, ia didorong faktor kelembapan ekonomi akibat Covid-19 yang memberi kesan kepada pengusaha hotel di Arab Saudi sehingga ada yang diisytiharkan muflis oleh mahkamah di sana.

“Dalam tinjauan kami didapati agen-agen yang memajak hotel daripada tuan punya ba­ngunan di Mekah dan Madinah, mereka sudah terhutang dua tahun. Ini berlaku akibat Co­vid-19, orang tak masuk ke sana.

“Jadi, sekarang ini, tuan punya bangunan sudah mengambil tindakan. Kalau ejen-ejen mahu teruskan juga bisnes hotel, kenalah bayar pajakan itu.

“Kalau tak bayar, ada perjanjian mereka yang akan dibawa kes itu ke mahkamah di sana. Malah, sudah ada ejen hotel yang memajak bangunan di sana, terpaksa diisytiharkan muflis,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN