PAU2022: UMNO perlu buat bedah siasat ikhlas, bukan berlapik-lapik, berkias - Utusan Malaysia

PAU2022: UMNO perlu buat bedah siasat ikhlas, bukan berlapik-lapik, berkias

PERSIDANGAN Perhimpunan Agung UMNO di WTCKL. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO mesti melabur secara besar-besaran terutamanya dalam data, kajian dan penyelidikan, sebagai satu pendekatan terbaik untuk memastikan parti itu boleh menang pada pilihan raya umum akan datang.

Jurucakap UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia antara empat asas yang perlu diambil sebelum memeta jalan masa depan yang lebih baik.

Beliau berkata, strategi dengan mengutamakan ilmu bukanlah sesuatu yang merugikan untuk sebuah parti yang hidupnya berteraskan masyarakat.

Justeru, katanya, dengan segala persoalan yang dihadapi oleh masyarakat hari ini, UMNO mesti menjadi parti yang mempunyai idea dan cadangan penyelesaian.

“Apa penyelesaian kita untuk isu kos sara hidup? Apa cara UMNO untuk bangunkan kembali ekonomi yang lembap? Apa cadangan UMNO, untuk berhadapan dengan perubahan iklim? Malah, dengan melabur secara besar-besaran dalam data dan penyelidikan, kita akan dapat mendalami banyak perkara kritikal.

“Oleh itu, UMNO mesti mempunyai pangkalan data dan sistem pengurusan ilmu pengetahuan yang moden dan mantap. Kita tidak boleh terus menerus membuat keputusan secara membuta tuli.

“Atau dengan meneka emosi dan sentimen masyarakat berdasarkan pemerhatian, culaan, atau dengan sekadar membaca beberapa komen di Facebook, Twitter atau TikTok,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022, hari ini.

Fadzli yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub berkata, parti itu mesti melakukan bedah siasat yang jujur dan ikhlas.

Katanya, ia perlulah benar-benar menonjolkan di manakah kelemahan dan kesilapan serta yang memberitahu apakah kekurangan dan kesalahan.

“Bukannya post mortem yang dilakukan secara berlapik-lapik. Yang berkias-kias. Yang penuh dengan pantun-pantun dan puisi. Yang bertujuan untuk menjaga air muka, dan kononnya ingin menjaga hubungan baik. Semua itu tidak akan membawa kebaikan kepada parti,” katanya.

Selain itu beliau menambah, UMNO juga perlu merombak cara kerja lama dan mencari pendekatan baharu serta meneroka strategi baharu komunikasi dan pengurusan media. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN