PETALING JAYA: Pemimpin UMNO akar umbi sudah dapat menerima rasional jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan kerana semua pihak mahu fokus diberikan terhadap pemulihan ekonomi dan kestabilan parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, beliau telah berjumpa dengan kebanyakan akar umbi yang menyatakan kebimbangan sekiranya jawatan itu dipertandingkan walaupun terdapat desakan agar kedua-duanya dicabar oleh pemimpin lain.
Bagaimanapun katanya, ketika ini belum ada sebarang perbincangan dan cadangan daripada kepimpinan tertinggi sama ada kedua-dua jawatan itu perlu dipertanding atau tidak dalam pemilihan parti nanti.
“Saya faham mengapa orang UMNO di bawah tidak mahu sebab tidak mahu huru hara berlaku, sebab kalau dipertandingkan juga, akan ada ‘tajaan’ daripada pihak luar yang bakal mencetuskan huru hara UMNO pula.
“Jadi, kita tidak mahu perkata ini berlaku, sebab tujuan mereka mahu kacau pemilihan UMNO, tukar kepimpinan parti dan tukar kerajaan. Sebab itu akar umbi tidak bersetuju.
“Kita mahukan kerajaan stabil dan pulihkan ekonomi. Kalau UMNO huru hara sekarang, lagilah tidak stabil dan keadaan semakin teruk. Elok ketika ini pulihkan ekonomi dan untuk kerajaan stabil, kita perlukan UMNO yang stabil dahulu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam dilaporkan berkata, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan sebaliknya usaha perlu dilakukan untuk mengukuhkan parti selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, timbul spekulasi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Pada 27 Disember lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bagi menentukan sama ada jawatan tersebut boleh dipertanding atau tidak.
Sepanjang penubuhan UMNO lebih 70 tahun, pemilihan Presiden hanya berlaku empat kali iaitu pada era Tunku Abdul Rahman dan Ahmad Fuad Hassan (1951); Tun Hussien Onn dan Sulaiman Palestin (1978); Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (Ku Li) (1987) serta Ahmad Zahid dan empat pencabar (2018). – UTUSAN










