Tujuh kes berita palsu, hina raja, kaum agama disiasat 

Tujuh kes berita palsu, hina raja, kaum agama disiasat 

TEO NIE CHING (duduk kiri) mendengar taklimat operasi bilik suntingan ketika melawat RTM Johor di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan penyebaran berita palsu, artikel kebencian berunsur perkauman dan  melibatkan sentimen agama.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, tindakan itu diambil menerusi penubuhan Pasukan Khas Menangani Berita Palsu yang diwujudkan kementerian tersebut pada 1 Disember lalu.

Pihaknya masih menunggu tindakan selanjutnya tentang siasatan berkenaan yang kini dalam tindakan Pejabat Peguam Negara.

“Kertas siasatan tersebut melibatkan kesalahan dalam penulisan artikel berkaitan berita kebencian, menghina raja-raja, perkauman dan juga sentimen agama. Ini penting kerana ia merupakan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan juga sultan-sultan di negara ini.

“Oleh itu, kita telah bekerjasama dengan PDRM dan Peguam Negara untuk memastikan sebarang kesalahan dibuat membabitkan perkara-perkara tersebut akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya selepas melakukan kunjungan ke Pejabat Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor, di sini hari ini yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai memberitahu, kerajaan bagaimanapun tidak berhasrat untuk menyekat akses masyarakat kepada dunia digital menerusi pelbagai platform media sosial.

“Sekarang media sosial sudah menjadi platform yang diguna pakai semua orang, kita tidak boleh hentikan akses mereka dan itu bukan hasrat kerajaan.

“Tetapi kita mahu didik dan tingkatkan literasi digital supaya rakyat menjadi lebih celik digital untuk mendapatkan info sahih, khususnya menerusi agensi berita tempatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi tempatan untuk menaik taraf mutu perkhidmatan internet, khususnya di kawasan kampus universiti di seluruh negara.

“Kalau mana-mana universiti berdepan masalah rangkaian internet, saya alu-alukan pihak universiti hubungi kami supaya kita boleh adakan mesyuarat,  kami akan kerjasama dengan syarikat telekomunikasi agar kampus universiti ada perkhidmatan rangkaian yang bagus untuk mahasiswa.

“Ini merupakan satu keperluan asas, perkhidmatan yang diperlukan semua lapisan masyarakat khasnya mahasiswa. Jadi, kami akan bantu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.