Tubuh jabatan khas tangani kes dera kanak-kanak - Nancy

Tubuh jabatan khas tangani kes dera kanak-kanak – Nancy

NANCY SHUKRI dalam sidang akhbar semasa melawat rumah perlindungan kanak-kanak di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan sebuah jabatan khas bagi menangani kesejahteraan kanak-kanak termasuk isu penderaan dan pengabaian yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penubuhan jabatan berkenaan telah dipersetujui secara prinsipnya oleh Kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan beberapa kementerian bagi memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya tidak menafikan kemungkinan terdapat kelemahan berhubung soal ini, mungkin jumlah tenaga kerja kurang atau ketiadaan kepakaran tertentu. Jadi, saya tidak menafikan.

“Misalnya, pegawai yang mempunyai kemahiran dalam bidang psikologi dan sekarang ini saya dapati pegawai JKM majoritinya berkelayakan peringkat diploma, bukan bermaksud mereka tidak pandai, tetapi beban mereka besar. Jadi, tidak adil bagi mereka.

“Kita akan perbaiki kelemahan yang ada. Antara langkah itu adalah dengan mewujudkan sama ada sebuah unit, atau jabatan atau institusi baharu. Saya telah bentang perkara ini kepada Kabinet agar kementerian distruktur semula,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke sebuah rumah perlindungan kanak-kanak, di sini hari ini yang turut dihadiri Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Adnan Md. Yassin.

Nancy juga akan membuat permohonan supaya kementeriannya diberi peruntukan lebih besar pada tahun depan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa undang-undang berkaitan kesejahteraan kanak-kanak yang terdapat dalam Akta Kanak-Kanak 2001 sedia ada mencukupi dan mematuhi piawaian antarabangsa.

“Akta Kanak-Kanak telah dipinda pada 2021 dan menurut laporan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), undang-undang kita mematuhi konvensyen hak kanak-kanak antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN