TH terima anugerah Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam

TH terima anugerah Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam

MOHD. NA’IM Mokhtar bergambar selepas menerima Anugerah Labaitom kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam di Jeddah, Arab Saudi. - GAMBAR IHSAN TH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bersyukur Tabung Haji terus diperakui sebagai operator terbaik di dunia.

Menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya, beliau juga merakamkan ucapan syabas kepada agensi itu apabila menerima pengiktirafan tersebut daripada kerajaan Arab Saudi.

“Tahniah kepada pengurusan dan seluruh warga kerja Tabung Haji. Semoga terus jadi semangat kepada kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik,” nukilnya secara ringkas.

Beliau turut memuat naik pautan daripada laman sosial Tabung Haji yang memaparkan gambar dirinya menerima Anugerah Labaittom diadakan di Jeddah, Arab Saudi hari ini.

Pengiktirafan khas itu untuk kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam disampaikan oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

Penganugerahan tersebut berlangsung ketika sesi sela Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang telah berlangsung sejak kelmarin dan berakhir pada 12 Januari ini.

Program tahunan berkenaan disertai sejumlah 56 buah negara dengan Malaysia diwakili oleh Tabung Haji yang diketuai sendiri Pengerusinya, Tan Sri Azman Mokhtar.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pengiktirafan itu amat bermakna terutama apabila Tabung Haji kebetulan pula meraikan ulang tahun ke-60 penubuhannya pada tahun ini.

“Anugerah ini juga adalah pengiktirafan buat Malaysia sendiri kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang kini menjadi contoh kepada negara Islam lain,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Tabung Haji menerusi kenyataan di Kuala Lumpur berkata, keupayaan agensi tersebut sentiasa mendapat pujian pelbagai pihak khususnya dari Arab Saudi.

“Setiap tahun, kami menganjurkan kursus haji di tanah air secara fizikal dan dalam talian selain disediakan pembimbing ibadat haji untuk sesi bimbingan di Tanah Suci,” katanya.

Secara keseluruhannya, agensi itu menyediakan lebih 500 Pengkursus Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) untuk membantu jemaah.

Mereka juga menganjurkan Muzakarah Haji setiap tahun selepas selesai musim haji bagi meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan haji termasuk menambah baik modul kursus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.