SEPANG: Persiapan rapi telah dilaksanakan oleh Tabung Haji (TH) bagi menghadapi sebarang kemungkinan susulan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini, termasuk jaminan melibatkan jemaah haji Malaysia dari segi keselamatan, perlindungan insurans serta kelancaran operasi bagi musim haji 1447H/2026M.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1447H/2026M, Mohd Norber Kassim berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa yang berlaku dengan langkah sewajarnya telah pun diambil bagi memastikan urusan ibadah haji bakal berjalan dengan lancar.
“Sememangnya kita telah pun bersiap sedia dengan pelan bencana, yang mana sebelum ini pun, sebelum krisis peperangan ni pun TH memang telah ada SOP (prosedur operasi standard), kita ada pelan.
“Jadi pelan ini (pelan sedia ada), kita sesuaikan dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan yang berlaku. Kita doakan semoga semua urusan haji dapat berjalan lancar sebagaimana yang telah dirancang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Lawatan Media bagi Operasi Musim Haji 1447H/ 2026M di Movenpick Hotel & Convention Center (MHCC) hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, TH turut mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara, selain berhubung dengan Kerajaan Arab Saudi berhubung situasi semasa.
“Ini melibatkan pihak kerajaan Malaysia sendiri mendapatkan nasihat daripada pihak Majlis Keselamatan Negara begitu juga dengan pihak kerajaan Arab Saudi di sini.
“Jadi Tabung Haji telah pun mendapat pengesahan daripada kerajaan Arab Saudi bahawa haji akan diteruskan sebagaimana biasa. Jadi oleh sebab itu kita akan teruskan sebagaimana perancangan menguruskan haji pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kebajikan jemaah haji Malaysia, terutamanya melibatkan aspek perlindungan dan insurans berada di bawah pengurusan TH.
“InsyaAllah semuanya di bawah pengurusan Tabung Haji lah. Jemaah ini merupakan jemaah haji Malaysia dan diuruskan oleh Tabung Haji. Tabung Haji akan melihat semua perkara-perkara yang berkenaan,” katanya. – UTUSAN










