Teruja sambut Tahun Baharu Cina bersama Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Teruja sambut Tahun Baharu Cina bersama Perdana Menteri

NADIA HABIB MOHAMED; WONG YUNG KONG dan R. SIVACHANDRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS : Ribuan penduduk Pulau Pinang tanpa mengira kaum tidak melepaskan peluang meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Spice Arena, dekat sini hari ini.

Kehadiran Anwar yang juga anak jati Pulau Pinang ke negeri ini adalah yang pertama kali selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.

Anwar yang tiba kira-kira pukul 2.30 petang turut diiringi isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan ketibaan beliau disambut oleh para pemimpin Pulau Pinang antaranya, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman, serta lain-lain jemputan.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Majlis tersebut dimulakan dengan para tetamu jemputan termasuk Perdana Menteri menggaul ‘Yee Sang’(salad campuran sayur-sayuran dan ikan) secara serentak sebagai simbolik sambutan perayaan tersebut dan acara diteruskan dengan persembahan kebudayaan daripada pelbagai kumpulan budaya di Pulau Pinang.

Seorang rakyat negeri ini, Nadia Habib Mohamed, 36, berkata, dia dan rakannya hadir ke majlis Rumah Terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang itu selepas melihat poster berkaitan program tersebut yang banyak diletakkan di sekitar pusat bandar.

“Selepas Covid-19, inilah acara pertama yang saya hadir dan ia lebih meriah dengan kehadiran pemimpin negara seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin negeri ini.

“Selain dapat melihat dengan lebih dekat pemimpin negara, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai juadah enak yang disediakan penganjur,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Ketua Menteri 2023, di Spice Arena di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Wong Yung Kong, 36, berkata, dia yang tinggal di Selangor pulang ke Pulau Pinang bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga.

“Selepas melawat rumah sanak saudara, ibu bapa saya mengajak saya ke sini untuk melihat kemeriahan rumah terbuka ini.

”Saya turut membawa anak-anak ke sini bagi membolehkan mereka melihat sendiri suasana rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang turut dihadiri oleh pelbagai kaum lain,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, R.Sivachandran, 40, berkata, dia hadir bersama ahli keluarganya kerana mahu anak-anaknya melihat dengan lebih pemimpin negara dan negeri ini.

“Selain membawa mereka memeriahkan rumah terbuka ini, mereka dapat melihat Perdana Menteri yang pertama kali hadir ke Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya