Terbuka isu bantahan pengguguran pengerusi kariah masjid - Utusan Malaysia

Terbuka isu bantahan pengguguran pengerusi kariah masjid

AHMAD ZAKIYIDDIN Abdul Rahman ketika mengumumkan penutupan sementara Masjid Tok Lebai Hashim, Bukit Minyak, Pulau Pinang untuk kerja-kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BUKIT MERTAJAM: Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pengurusan masjid yang membuat bantahan susulan pengguguran nama pengerusi kariah mereka sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kariah bagi sesi 2023 hingga 2025 di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ketika ini, hanya tiga atau empat daripada keseluruhan hampir 15 buah masjid yang dikenal pasti membuat bantahan itu belum mencapai kata putus.

Sehubungan itu, katanya, MAINPP bersedia memberi tempoh maksimum sehingga dua bulan kepada pengurusan masjid yang berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu terbabit.

“Kita dah bermesyuarat pagi tadi dan menilai bantahan-bantahan yang dibuat oleh sesetengah masjid dan selepas meneliti semua bantahan itu, kita ambil keputusan untuk kekalkan keputusan sebelum ini (menggugurkan nama pengerusi kariah tertentu).

“Kita ada asas tertentu dalam membuat keputusan itu yang pastinya demi manfaat masa depan. Jadi, saya berharap pihak yang tidak berpuas hati boleh menerima keputusan MAINPP dan hentikan bantahan termasuk turunkan ‘banner’ yang berkaitan dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir menunaikan solat Jumaat terakhir di Masjid Tok Lebai Hashim di Bukit Minyak di sini sebelum sebahagian daripada struktur binaan masjid itu diruntuhkan untuk pembinaan semula.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, antara punca beberapa nama calon pengerusi kariah masjid itu digugurkan daripada pemilihan berkenaan termasuk disebabkan oleh faktor usia dan pelanggaran etika pentadbiran.

Katanya, kesalahan lain ialah tidak mahu bekerjasama dengan program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, membiarkan masjid menjadi ‘pentas’ politik kebencian dan menjemput ustaz-ustaz tanpa tauliah yang sah daripada MAINPP untuk mengajar.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, berdasarkan penelitian, rata-rata pengurusan masjid yang membuat bantahan atau menolak keputusan MAINPP gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan termasuk masih mencadangkan pengerusi yang melangkaui usia 65 tahun.

“Ini bertentangan dengan hasrat MAINPP iaitu untuk ‘meremajakan’ pengurusan jawatankuasa masjid itu sendiri.

“Jadi, kita bertegas dengan isu umur ini,” katanya yang menambah, MAINPP berkuasa melantik mana-mana anak kariah menjadi ahli jawatankuasa masjid di bawah Tatacara 9.1 Pemilihan Calon Jawatankuasa Kariah Negeri Pulau Pinang 2023-2025 dan Kaedah 4(2) Kaedah 1997.

Beliau bagaimanapun berkata, MAINPP tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan klausa-klausa itu dalam menolak atau melantik mana-mana calon sebaliknya, calon pengganti yang dipilih ialah daripada senarai mesyuarat pemilihan calon AJK Kariah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya