Tekup muka anak dengan bantal sehingga mati, ibu muda didakwa di mahkamah - Utusan Malaysia

Tekup muka anak dengan bantal sehingga mati, ibu muda didakwa di mahkamah

SEORANG ibu muda dihadapkan ke Mahkamah Sepang atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berumur setahun enam bulan di Mahkamah Sesyen Sepang. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang ibu muda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi kandung lelakinya, minggu lalu.

Suspek yang berusia 20 tahun yang memakai pakaian lokap berwarna ungu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman yang bertindak sebagai Majistret.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan niat menyebabkan kematian bayi lelakinya yang berusia setahun enam bulan di sebuah unit kondominium di Jalan Teknokrat 7, Cyber 5, Cyberjaya antara pukul 5.52 petang hingga 11.30 pagi, pada 11 dan 12 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam, Johan Radzi yang menggantikan peguam utama, Farhana Abdul Halim.

Nur Sabrina membuat permohonan kepada mahkamah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh yang juga seorang kerani swasta dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan dan pemantauan mental.

Nur Sabrina juga mencadangkan kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi serahan laporan psikiatri, forensik dan kimia.

Ahmad Fuad kemudiannya menetapkan 20 Mac ini sebagai tarikh serahan dokumen.

Semalam media melaporkan seorang ibu muda bersama kekasih direman selama seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya yang berusia setahun enam bulan di sebuah ‘homestay’ di kondominium di Cyberjaya, 12 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang doktor yang bertugas di wad kecemasan Hospital Cyberjaya memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar oleh ibu kandungnya, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat pendarahan di kedua-dua belah anak mata kanak-kanak terbabit berkemungkinan disebabkan penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal.

Bagaimanapun katanya, pada 15 Januari, pegawai perubatan Hospital Cyberjaya telah menghubungi pihak polis pada pukul 8.03 pagi memberitahu kanak-kanak terbabit meninggal dunia.

Tambah beliau, hasil soal siasat mendapati ibu mangsa mengaku terlibat dalam kes tersebut dengan cara menekup muka anaknya dengan bantal yang ketika itu sedang tidur sehingga lemas kerana berada dalam keadaan yang sangat tertekan ekoran masalah dengan suami dan keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.