Tegas tangani pencerobohan tentera China di Laut China Selatan

Tegas tangani pencerobohan tentera China di Laut China Selatan

Ruslan Muharram
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan perlu mengambil langkah tegas susulan siri pencerobohan tentera China di perairan Malaysia di Laut China Selatan ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Ruslan Muharram berkata, pencerobohan yang berlaku sejak sekian lama dan kini semakin kerap menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak.

Katanya, terbaharu, pihak US Indo-Pacific Command mengeluarkan imej pintasan pesawat tempur tercanggih iaitu J-11 milik Tentera Laut China di ruang udara antarabangsa di laut China Selatan, baru-baru ini.

Menurutnya, imej itu dirakam pada 21 Disember lalu namun tiada sebarang reaksi dari Wisma Putra setelah 72 jam berlalu sejak laporan rasmi media antarabangsa Agensi Reuters dikeluarkan mengenai insiden itu.

“Kita ingin tahu sejauh mana situasi ini mengancam kedaulatan negara khususnya kedudukan Sabah dan Sarawak serta apakah tindakan susulan Wisma Putra untuk tangani isu yang sudah berlaku sekian lama?” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ruslan turut menggesa Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan memberi penjelasan serta kenyataan segera berkaitan isu berkenaan kerana ia turut melibatkan keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, pihaknya sebelum ini telah membangkitkan isu sama kepada kerajaan sebelumnya dan amat berharap kerajaan Persekutuan kali ini lebih peka serta tegas dalam isu terbabit.

“Segala kepentingan negara di perairan kita di Laut China Selatan khususnya melibatkan industri minyak dan gas serta perikanan perlu terjamin daripada sebarang ancaman luar khususnya China. Dikhuatiri kita bakal kehilangan segala aset kita di rantau Laut China Selatan jika Malaysia berterusan berdiam diri atau berlembut dalam isu pencerobohan tentera China ini,” katanya.

Sehubungan itu, Ruslan menyeru kerajaan menempatkan aset pertahanan terbaik di Sabah dan Sarawak demi keselamatan rakyat di kedua-dua wilayah yang menjadi benteng hadapan jika berlaku sebarang konflik berkaitan isu terbabit di masa depan.

Katanya, pencerobohan sejak tahun 2013 oleh pihak ketenteraan serta maritim China sebagaimana dilaporkan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) termasuk laporan media lainnya, membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.

Menurutnya, situasi sama turut dialami negara ASEAN lainnya hingga mereka mengambil langkah memperkukuh aset ketenteraan di perairan negara masing-masing di rantau tersebut.

“Kita perlu lakukan tindakan sama kerana ia penting bagi memastikan Malaysia tidak dianggap lemah pada persepsi negara lain sekaligus mampu bertindak menjaga hak dan kedaulatan negara di Laut China Selatan. Ini adalah pendapat peribadi saya kerana kepentingan serta keselamatan rakyat dan negara adalah keutamaan saya dan sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan aspek ini terpelihara,” tegasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya