KUANTAN: Kerajaan disaran menangguhkan kemasukan pelancong China kerana ia pilihan terbaik berbanding saringan ketat untuk mengurangkan risiko penularan baharu Covid-19 yang boleh menyebabkan lonjakan kes di negara ini.
Dalam kes sebelum ini, saringan wabak pandemik itu dari segi prosedur operasi standard (SOP) hanya di atas kertas, apatah lagi keadaan dunia pada ketika ini sudah menuju kepada peralihan fasa endemik.
Memandangkan kes di China sedang melonjak, adalah lebih baik dihentikan sementara waktu penerbangan dari negara itu masuk ke Malaysia untuk mengelakkan situasi ‘buruk’ 2020 yang lalu berulang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubahan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik) Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, secara logiknya jika wabak Covid-19 tidak terkawal di China, kerajaan perlu menangguhkan kemasukan warga negara terbabit ke Malaysia.
“Lambat-laun apa jenis varian pun akan tersebar juga, tetapi mungkin jika ditangguhkan kemasukan warga China, ia boleh melengahkan penularan varian berkenaan ke negara ini.
“Juga mustahak buat negara kita bersiap sedia dengan kemungkinan lonjakan kes Covid-19 semula.
“Antara lain dengan pemberian vaksin bivalen dan kepentingan diagnosis Covid-19 segera supaya perawatan boleh diberikan secepat mungkin,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan dengan menetapkan semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa perlu melalui saringan demam.
Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula dan jika pengembara berkenaan disyaki Covid-19, maka ujian Covid-19 akan dijalankan.
Dr. Zaliha berkata, selain itu, pemantauan di pintu masuk juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan daripada pesawat yang datang dari China.
Pada 13 November lalu, China melalui Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaannya melaporkan kes Covid-19 di negara itu kembali meningkat dengan 14,878 jangkitan baharu dan 1,711 daripadanya bergejala manakala 13,167 tidak bergejala.
Malah, sepanjang tempoh seminggu selepas itu, kes pandemik Covid-19 di republik itu melonjak sehingga 62,439 kes. Tanah besar China pula mengesahkan terdapat 271,968 kes dengan gejala.
Beberapa hari lalu dalam minggu akhir Disember ini, media melaporkan wilayah perindustrian Zhejiang berdepan sejuta jangkitan baharu Covid-19 setiap hari malah jumlah itu dijangka meningkat sehingga dua kali ganda beberapa hari lagi.
Ekoran kebimbangan peningkatan kes pandemik Covid-19 ini, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun sudah mewajibkan ujian Covid-19 untuk pelancong dari China.
Mengulas lanjut, Dr. Jamalludin berkata, biarpun kerajaan boleh mengawal dengan melakukan saringan ketat, tetapi beliau tetap memilih supaya ditangguhkan sementara kemasukan pelancong China ke negara ini.
“Ini kerana kita bimbang situasi 2020 berulang disebabkan kerana vaksin di negara China tidak sebaik vaksin dari barat. Sesuatu yang mereka (China) sukar hendak terima,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, walaupun negara sudah mempunyai rawatan yang efektif, ia boleh melibatkan peningkatan beban penjagaan kesihatan dan kos ubatan.
“Ada kemungkinan juga berlaku kesesakan kembali di wad hospital kerajaan tetapi keadaan kita tidak sama seperti dahulu.
“Wujudnya ubat yang baik untuk Covid-19 di samping liputan vaksinasi yang tinggi, boleh mengurangkan kemungkinan kejadian seperti itu berlaku,” katanya. – UTUSAN










