Takut didakwa terlibat jenayah palsu, jurutera rugi RM2.9 juta

Takut didakwa terlibat jenayah palsu, jurutera rugi RM2.9 juta

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Gara-gara terlalu takut didakwa kerana terlibat dengan kegiatan jenayah yang tidak dilakukannya, seorang jurutera di sini ‘berputih mata’ apabila mengalami kerugian hingga mencecah RM2.9 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, terdahulu, mangsa mendakwa dihubungi oleh seorang individu yang mengirimkan satu bungkusan berisi kad pengenalan serta kad bank milik orang lain kepadanya pada 1 Disember lalu.

Kata beliau, mangsa juga mendakwa diugut oleh individu tersebut yang memberitahu akan membuat laporan polis jika enggan mengakui penglibatannya dalam kes tersebut.

“Disebabkan panik, mangsa lelaki berusia 45 tahun itu hanya mengikut arahan sindiket terbabit sebelum dihubungi pula oleh seorang individu lain yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai polis dari IPK (Ibu pejabat Polis Kontinjen) Perak.

“Mangsa kemudian diminta supaya membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan atau berdepan kemungkinan dikenakan tindakan atas dakwaan terbabit dengan kegiatan jenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 129 transaksi bank telah dilakukan oleh mangsa atas arahan beberapa suspek terbabit yang dipercayai mendalangi sindiket penipuan Macau Scam itu iaitu antara 1 Disember hingga 6 Januari lalu.

“Selain memasukkan wang sendiri berjumlah RM1.9 juta, mangsa juga dikatakan meminjam wang sebanyak RM700,000 daripada rakan serta ahli keluarganya dan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun yang diminta.

“Lebih malang, mangsa sanggup membuat pinjaman peribadi berjumlah hampir RM300,000 daripada dua buah bank untuk tujuan yang sama,” katanya.

Tambah Mohd. Shuhaily, mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakannya sebelum membuat laporan polis semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN